KUALA LUMPUR - Peguam kepada Haziq Abdullah Abdul Aziz iaitu lelaki yang mengaku terlibat dalam video intim dengan individu mirip menteri Kabinet menjelaskan anak guamnya tidak dikenakan larangan untuk ke luar negara.
S Ramesh berkata, polis setakat ini tidak menghalang Haziq untuk ke luar negara selepas dia memberikan kerjasama penuh untuk membantu siasatan.
Katanya, Haziq yang dibebaskan kira-kira jam 5.45 petang tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi iaitu selepas hampir 24 jam ditangkap juga bersedia memberi kerjasama lagi sekiranya diperlukan.
Tambah Ramesh, Haziq juga memaklumkan bahawa polis bertindak profesional dan dilayan dengan baik sepanjang penahanannya sejak semalam.
"Mengenai pembebasan ini, mereka (polis) pada asalnya mahu reman dia (Haziq) untuk sesetengah perkara, tetapi anak guam saya memberitahu polis beberapa perkara dan akhirnya mereka memberikan jaminan polis berbanding diikat jamin.
"Dia dikehendaki hadir bila-bila sahaja diperlukan. Polis katakan, sekarang ini mereka tidak ada sebarang siasatan lanjut. Bagaimanapun jika ada keperluan, mereka akan memanggilnya. Dia bebas dengan jaminan polis. Itu sahaja,” katanya pada sidang media di luar IPD Dang Wangi hari ini.
Ditanya mengenai tujuan Haziq ke Manila semasa ditahan polis semalam, Ramesh berkata, setakat ini dia tidak mempunyai maklumat mengenai hal itu.
Ditanya ke mana lokasi Haziq selepas dibebaskan dengan jaminan polis hari ini, Ramesh berkata itu juga diluar pengetahuannya.
"Haziq mahu masa rehat dan ruang peribadi,” katanya.
Seorang lagi peguam Haziq, R Sivahnanthan berkata, anak guamnya itu turut meminta agar media menghormati ruang peribadinya.
Haziq, 27, yang berpakaian serba gelap dan bertopi dilihat dibawa keluar dari IPD Dang Wangi dengan menaiki kenderaan jenis Proton Persona.
Haziq dilihat duduk di tempat duduk belakang ketika sekumpulan jurukamera dan wartawan mengerumuni kenderaan itu.
Ketua AMK Santubong tersebut dibawa ke IPD Dang Wangi dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas menjalani pemeriksaan untuk siasatan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan luar tabii.
ARTIKEL BERKAITAN:Haziq ditahan sebelum berlepas ke Manila
Semalam Haziq dilaporkan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Haziq ditahan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman, semasa berada di terminal pelepasan antarabangsa untuk berlepas ke Manila, Filipina.
Sebelum ini Haziq digantung tugas sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Md Akin.