Pas sahkan calon Ketua Pemuda menang tanpa bertanding

Iklan
Dr Mohd Fuad Mohd Salleh

SHAH ALAM - Pas mengesahkan calon bagi jawatan Ketua Pemuda parti itu menang tanpa bertanding.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat, Dr Mohd Fuad Mohd Salleh berkata, pengumuman tersebut akan dibuat pada Muktamar Tahunan.

Iklan
Iklan

"Kita ada terima permohonan bagi pencalonan bagi jawatan tersebut daripada beberapa nama tetapi mungkin mereka tidak mengembalikan surat pengesahan.

"Calon ini menang tanpa bertanding. Saya tidak mahu menyebut namanya, kita tunggu sahaja pengumuman Khamis depan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Iklan

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin ketika dihubungi mengesahkan menghantar pencalonan untuk mengisi jawatan Ketua Pemuda yang dikosongkan oleh Muhammad Khalil Abdul Hadi.

"Ya, saya memang ada mencalonkan diri untuk jawatan Ketua Pemuda Pas yang baharu, tapi saya tak pasti adakah layak dan memenuhi semua kriteria pada pemilihan itu.

Iklan

"Tapi, saya tak tahu adakah saya calon tunggal atau ada juga calon lain yang menghantar pencalonan untuk jawatan sama, itu hak individu," katanya.

Beliau berkata, setakat ini Pas hanya mengumumkan pengesahan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sahaja kekal tidak dicabar.

"Untuk posisi Ketua Pemuda dan Ketua Muslimat Pas, masih belum ada sebarang pengumuman atau pengesahan, mungkin strategi Pas nak umum semasa Muktamar Tahunan Pas Pusat di Kuantan minggu depan atau dua, tiga hari lagi.

"Setakat ini Presiden dan Timbalan Presiden Pas sahaja sah menang tanpa bertanding. Tapi, kalau khabar angin ini benar, kita akan sidang akhbar di Muktamar nanti, Insya-ALLAH," ujarnya.