KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda Harapan, Syed Saddiq Abdul Rahman mendakwa tahap tarbiyah Pas telah gagal sebaliknya bertindak menjadikan anak muda dan teknologi sebagai kambing hitam.
Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, sikap yang ditonjolkan pimpinan Pas ini tidak menggambarkan kearifan mereka dalam berdakwah dengan hikmah, sebaliknya sering menyalahkan pihak lain yang lebih mendekati rakyat dan membawa perjuangan rakyat.
Syed Saddiq berkata demikian bagi membidas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengatakan 30 peratus pengundi muda yang berumur bawah 21 tahun yang mengundi Pakatan Harapan (PH) tidak mengaji kitab, tidak mengaji agama tetapi mengaji dengan telefon bimbit, Facebook dan WhatsApp.
"Saya merasakan hujah anak muda pengundi PH 'tak mengaji kitab' ini sebagai menghina kebijaksanaan anak-anak muda. Islam ini hikmah Tuan Guru (Abdul Hadi), Islam ini hikmah... jangan lupa.
"Sikap ini tidak menggambarkan kearifan mereka dalam berdakwah dengan hikmah, sebaliknya sering menyalahkan pihak lain yang lebih mendekati rakyat dan membawa perjuangan rakyat,” kata Syed Saddiq dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Muar itu bersetuju dengan pandangan Abdul Hadi bahawa politik bukan kajian dua atau tiga minit, sebaliknya politik adalah hal ehwal dasar dan agenda yang perlu diperhalusi dengan hujah dan pandangan yang rasional.
"Ini betul dan saya sokong. Tetapi, apakah yang Pas dan UMNO tawarkan selama ini kepada anak muda? Mereka hanya menawarkan politik sentimen perkauman dan agama sahaja. Mereka hanya tahu menyalahkan DAP, menyalahkan pengkritik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Romsah (1MDB) dan menyalahkan anak muda yang mahukan politik inklusif.
"Atas sikap Pas dan UMNO ini, maka anak-anak muda menjadi muak dan beralih menyokong hujah-hujah politik PH. Ini bukan salah anak muda, sebaliknya pemimpin-pemimpin Pas sendiri yang tidak memahami idealisme dan selera anak muda. Politik sememangnya tentang dasar, dan selera semasa. Ini tidak dapat dielakkan oleh mana-mana parti yang mahukan sokongan,” tegasnya.
Syed Saddiq yang juga Ketua Armada Bersatu mempersoalkan mengapa Ahli Parlimen Marang itu begitu marah apbila rakyat menolak UMNO kerana beliau berhujah 'kerana marahkah UMNO, kelambu dibakar malah 90 peratus pengundi bukan Islam mengundi PH'.
"Mengapa Abdul Hadi begitu marah bila rakyat menolak UMNO? Adakah beliau ini ahli seumur hidup parti UMNO? Bahagian mana Marang? Abdul Hadi mengatakan 90 peratus bukan Islam itu mengundi PH. Saya cuba pergi jauh persoalan yang cuba menjurus tentang sentimen perkauman ini.
"Soalan objektif dan adil saya kepada beliau, adakah dakwaan Abdul Hadi ini bermaksud pengundi bukan Islam yang mengundi PH ini salah kerana mereka mengundi untuk menolak rasuah? Adakah mengundi untuk menolak rasuah itu hukumnya haram menurut faham agama beliau?
"Adakah mereka yang mengundi PH untuk menolak kerosakan yang dibuat ke atas Tabung Haji, Felda dan institusi negara yang lain ini salah disisi agama atau undang-undang?,” soalnya.
Terdahulu, media melaporkan Pas menyifatkan 30 peratus anak muda yang mengundi PH pada pilihan raya umum PRU14 lalu sebagai kekurangan ilmu agama sehingga gagal memahami Islam mengikut makna sebenar.
Presidennya, berkata disebabkan itu golongan terbabit didakwanya melakukan kesilapan apabila menumbangkan BN, dan mengundang mudarat lebih besar dengan memilih PH.