SHAH ALAM- Kutipan hasil kerajaan negeri Selangor adalah sebanyak RM1.214 bilion sehingga 7 Jun tahun ini berbanding 1.067 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, Selangor turut mencatatkan aliran pelaburan tempatan dan luar negeri berjumlah RM18.947 bilion pada tahun 2018 berbanding RM5.592 bilion pada tahun sebelumnya.
"Peningkatan ini adalah sebanyak 238 peratus berbanding nilai pelaburan pada tahun 2017 dan ini merupakan jumlah pelaburan terbesar dalam sejarah Selangor," katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan ketika hadir di Jamuan Hari Raya Peringkat Negeri di Bazarena Seksyen 13 di sini.
Katanya, dengan perkembangan tersebut, beliau yakin kerajaan negeri berada dalam landasan yang tepat untuk mencapai sasaran yang ditetapkan dalam Belanjawan 2019.
"Program-program kepedulian rakyat dapat dilaksanakan dalam kerangka polisi yang mampan, sekali gus sejajar dengan semangat"continuation” untuk terus-menerus melaksanakan kebaikan.
"Kerajaan negeri bertekad dan berusaha demi memastikan kebajikan rakyat di negeri ini dibela dan menjadi keutamaan," katanya.
Terdahulu, ribuan masyarakat terdiri daripada pelbagai golongan mengunjungi Majlis Rumah Terbuka Hari Raya anjuran kerajaan negeri di Bazarena Seksyen 13 di sini.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta kerabat turut berkenan berangkat ke majlis itu.