Mangsa kebakaran terima bantuan rumah transit

Iklan
Mangsa kebakaran cerita menerima surat tawaran unit transit disampaikan oleh Khalid Abdul Samad semalam.

KUALA LUMPUR - Selepas 10 hari menyambut Syawal di Dewan serba guna Jalan Hamzah, lima keluarga mangsa kebakaran di Jalan Raja Muda Musa Kampung Baru, di sini mampu menarik nafas lega apabila menerima tawaran menduduki unit transit projek perumahan rakyat (PPR).

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, kesemua terlibat ditawarkan unit di PPR Intan Baiduri, Kepong untuk tempoh 6 bulan bagi membantu mereka membina semula kehidupan selepas kejadian itu memusnahkan harta benda mereka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sewa tiga bulan pertama diberikan secara percuma manakala sewa sebanyak RM124 sebulan hanya akan dikenakan selepas tiga bulan.

"Bagaimanapun selepas tempoh enam bulan, mereka perlu bersedia untuk mengosongkan unit-unit ini kerana ia unit transit yang hanya dikhususkan untuk bantuan sebarang bencana.

Iklan

"Saya harap dalam tempoh 6 bulan mereka sudah boleh berdikari. Namun kita tetap akan lihat sebarang keperluan semasa waktu itu nanti,” katanya selepas menyampaikan surat tawaran menduduki unit transit PPR kepada mangsa kebakaran di Dewan Serbaguna Jalan Hamzah, Kampung Baru semalam.

Salah seorang mangsa, Faridah Mohd Nor, 53, berkata, dia bersyukur dengan bantuan yang diterima dan menyifatkan ia sebagai satu permulaan yang baik untuk mereka kembali bangkit.

Iklan

Faridah yang juga ibu tunggal kepada tiga orang anak yang masih belajar berkata, meskipun tidak dapat meraikan Syawal kali ini secara sempurna tidak menjadi halangan untuk merapatkan ukhuwah.

"Sepanjang berada di Dewan ini juga banyak bantuan yang kami terima, yang datang melawat dan sebagainya. Saya bersyukur ikatan ukhuwah makin rapat.

"Selepas ini saya harap dapat kembali menjalani hidup seperti biasa dan bangkit daripada musibah yang berlaku,” katanya.

Norazlina Razali, 34 berkata dia berterima kasih atas keprihatinan kerajaan membantu mereka yang ditimpa musibah.

"Syukur kerana dapat rumah untuk duduk sementara. Walaupun lokasi unit transit agak jauh namun saya akan usahakan juga,” katanya.