KPM lancar kempen guru pembelajaran abad ke-21

Iklan
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik melancarkan Kempen Guru Pembelajaran Alaf ke-21 di TGV DPulze. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

CYBERJAYA - Kementerian Pendidikan hari ini melancarkan Kempen Guru Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) yang membolehkan guru-guru berkongsi pengalaman pengajaran menggunakan pendekatan berasaskan PAK21 dalam kelas masing-masing.

Dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik di sini hari ini, kempen sehingga 31 Januari tahun depan itu akan membuka ruang kepada lebih 400,000 guru berkongsi pendekatan terbaik dalam membawa unsur PAK21 ke dalam kelas kepada masyarakat.

Iklan
Iklan

Maszlee dalam ucapan pelancarannya berkata PAK21 merupakan inisiatif kementerian dalam memperjuangkan pembelajaran berpusatkan murid dengan menumpukan kepada lima piawaian asas iaitu komunikasi, kolaborasi, pemikiran kritis, kreativiti serta nilai dan sahsiah (4K1N).

"PAK21 merupakan ciri-ciri dan kemahiran yang perlu ada dalam setiap murid dalam mendepani cabaran abad ke-21.

Iklan

"Kita tahu semua guru mempunyai kreativiti tersendiri dalam mengaplikasi kaedah pengajaran berteraskan PAK21, dan untuk kita mengharapkan mereka untuk berkongsi pengalaman tersebut kepada orang lain,” katanya.

Maszlee turut berkongsi dapatan laporan ‘Future of Jobs di World Economic Forum’ yang menyatakan 65 peratus murid sekolah rendah masa kini akan bersaing untuk mendapatkan pekerjaan dalam bidang yang masih belum lagi wujud.

Iklan

Atas faktor itu, katanya guru-guru perlu bersedia dengan pedagogi terkini dalam pengajaran dan pembelajaran agar kemahiran kendiri murid dapat ditingkatkan supaya sentiasa relevan dalam karier masing-masing.

Beliau berkata guru-guru yang berminat boleh memuat naik maklumat strategi kreatif PAK21 yang digunakan di dalam kelas ke laman sesawang rasmi kempen di http://www.gurupak21.com/ sama ada menerusi format penulisan 300 patah perkataan ataupun video berdurasi tiga minit.

Sepuluh penyertaan terbaik yang dipilih akan berpeluang mendapat bimbingan dari mentor profesional, memenangi hadiah menarik serta menghadiri sesi ramah mesra bersama Menteri Pendidikan, katanya.- Bernama