MARAN - Hanya enam daripada 70 papan tanda iklan atau billboard yang dipasang sepanjang Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1) dalam kawasan daerah ini mendapat kelulusan atau mempunyai lesen dikeluarkan Majlis Daerah Maran (MDM).
Baki 64 papan iklan lagi didapati dipasang tanpa mendapat kelulusan dimana 45 daripadanya masih dalam proses permohonan daripada pemilik iklan atau syarikat pengiklanan.
Yang Dipertua MDM, Datuk Zaman Azam Mohamad Sarif @Ahmad berkata, jumlah itu tidak termasuk iklan billboard yang didaftarkan di bawah syarikat konsesi, Anih Berhad.
Menurutnya, bagi menangani isu tersebut, pihaknya melaksanakan operasi penguatkuasaan iklan tanpa kelulusan pada 13 Jun lalu melibatkan laluan sepanjang 60 kilometer sepanjang LPT1 dalam kawasan daerah berkenaan.
"Kesalahan dikenal pasti pemilik iklan atau syarikat pengiklanan mendirikan struktur, memasang papan tanda iklan atau billboard dan mempamerkan iklan tanpa lesen kelulusan.
"Pihak MDM masih mengesan 19 pemilik iklan atau syarikat pengiklanan yang masih belum mengemukakan surat maklum balas setelah surat arahan diedarkan,” katanya.
Zaman Azam berkata, bagi fasa pertama operasi, tindakan penguatkuasaan diambil terhadap 10 pemilik iklan dan syarikat pengiklanan terlibat.
"Kita dapati mereka masih gagal memberi maklum balas kepada pihak majlis selepas dikesan melakukan kesalahan dengan mendirikan struktur, memasang papan tanda iklan, billboard dan mempamerkan iklan tanpa kelulusan lesen.
"Bagi iklan yang dikenal pasti dipasang tanpa kelulusan, pihak kami mengambil tindakan dengan meletakkan notis arahan pada iklan atau billboard dan pemilik atau syarikat pengiklanan diberi tempoh 14 hari untuk mengemukakan permohonan dan menjelaskan bayaran lesen iklan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya pihak berkenaan gagal berbuat demikian, visual iklan yang dipamerkan pada papan iklan akan diturunkan.
"Operasi dijalankan ini selaras dengan Undang-undang Kecil Iklan (MDM) 2000 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
"Pada masa sama, operasi ini dilaksanakan untuk tindakan terhadap pihak-pihak yang gagal mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan di mana kelulusan lesen iklan dan permit pembinaan struktur binaan perlu sebelum iklan dibenarkan untuk dipamerkan,” katanya.
Menurutnya, operasi seumpama itu akan dijalankan dari masa ke semasa bagi membendung iklan tanpa lesen.
Pada operasi itu turut melibatkan pihak polis dan pihak konsesi LPT1, Anih Berhad.