Tambah baik struktur, fungsi Rejimen Askar Wataniah

Iklan
Senator Chin Tong (kiri) menerima buah Harumanis sebagai cenderahati daripada Tuanku Syed Faizuddin.

KUALA PERLIS - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menerima kunjungan sembah mengadap hormat oleh Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, Senator Liew Chin Tong di Kuala Perlis, Jumaat lalu.

Dalam sesi menghadap tersebut, Senator Chin Tong bertukar-tukar pandangan dengan baginda tentang pentingnya hala tuju, struktur dan fungsi Rejimen Askar Wataniah (RAW) diperhalusi dan diperjelaskan dengan lebih mendalam lagi oleh Kementerian Pertahanan agar organisasi ini terus kekal relevan.

Iklan
Iklan

Chin Tong berkata, sebagai inisiatif penambahbaikkan perlu dipertimbangkan dengan lebih serius dalam isu merekrut dan mengekalkan anggota, imbuhan, kenaikan pangkat, pengiktirafan, prasarana serta utiliti, latihan dan juga pemilihan jurulatih.

"Kementerian juga perlu mencari formula terbaik bagaimana untuk menarik lebih ramai pegawai muda yang telah ditauliahkan dalam PALAPES serta golongan profesional lain di luar sana untuk menyertai dan kekal bergiat aktif dalam pasukan bagi mengoptimumkan tenaga kerja dan juga kepakaran di setiap peringkat.

Iklan

"Setiap idea baharu yang hendak diambil itu hendaklah terus selari dan sejajar dengan dasar serta konteks Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) yang lebih kontemporari supaya kewujudan pasukan sukarelawan ini akan benar-benar mampu berperanan membantu ganti serta mengimbangi kekuatan anggota tetap demi untuk mempertahankan kepentingan strategik dan kedaulatan negara di masa darurat atau perang seperti yang dihasratkan," katanya.

Pada masa yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah berpengkalan di Kem Bukit Keteri Perlis yang juga merupakan salah seorang di antara Komander paling lama yang masih bersama pasukan itu pada ketika ini bertitah bahawa baginda mahu melihat agar Pasukan Simpanan Tentera Darat tersebut memiliki sistem dan polisi yang sentiasa ditambah baik mengikut situasi dan keperluan semasa dan tidak disebaliknya, agar terus disambut baik oleh seluruh rakyat.

Iklan

Menurut baginda, ancaman kepada negara kini sudah bersifat"Non-Traditional" seperti keganasan, penculikan, penyeludupan, perdagangan manusia dan barangan terkawal.

"Kerajaan juga seharusnya melengkapkan pemahaman dan juga memberikan bimbingan kepada setiap anggota pasukan Askar Wataniah yang terdapat di seluruh pelusuk negara supaya memainkan peranan sebagai mata dan telinga yang pantas dan efisyen untuk disalurkan maklumat kepada pasukan keselamatan negara jika ada berlaku sebarang pencerobohan atau perkara yang tidak diingini.

"Oleh itu, walaupun memerlukan peruntukan emolumen dan juga kos perkhidmatan dan bekalan yang tinggi untuk beroperasi di dalam keadaan yang dirasakan aman pada hari ini, ia bukanlah boleh dijadikan satu alasan untuk cepat berpuas hati serta leka.

"Adalah menjadi satu kewajipan agar kewujudan RAW ini terus diperhebatkan lagi bagi menarik segenap peringkat masyarakat secara sukarela untuk sama-sama tampil kehadapan berani mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi tercinta," titah baginda.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.