TUMPAT - Bumbung bangunan kelas Qiraati di Madrasah Qiraati Ar Rahmaniah Geting di sini yang menempatkan 20 kelas untuk 600 pelajar belajar al-Quran diterbangkan ribut semalam.
Dalam kejadian jam 6 petang itu menyebabkan sebahagian bumbung di tingkat atas tercabut.
Pengetuanya, Nurul Amna Abdul Rahman berkata, ketika kejadian, tiada pelajar di bangunan dua tingkat itu kerana kelas al-Quran masih bercuti raya.
"Kerosakan teruk di tingkat atas, hampir 100 peratus bumbung tercabut.
"Lantai kelas untuk pelajar dewasa dan kanak-kanak basah dan air hujan sampai bertakung di tingkat bawah," katanya ditemui di Kampung Geting di sini hari ini.
Menurutnya, hari ini sepatutnya kelas Qiraati dibuka tetapi terpaksa dibatalkan kerana ia tidak dapat beroperasi kerana bumbung rosak teruk.
Katanya, kerugian dianggarkan berjumlah RM30,000 dan untuk baikpulih dengan kadar segera sukar dilaksanakan kerana kekurangan dana.
"Kami perlu cari dana untuk baikpulih bangunan ini yang berusia lebih 20 tahun.
"Kelas Qiraati ini adalah peninggalan arwah ayah kami, Abdul Rahman Awang dan diamanahkan kepada anak-anak untuk meneruskan pengajian al-Quran di sini walau pun dia sudah tiada.
"Ayah yang mengasaskan sistem pengajian Qiraati sebelum ini mempunyai pelajar lebih 1,000 orang tetapi beliau meninggal dunia sembilan tahun lalu," katanya.
Sesiapa yang ingin membantu boleh menghubungi Nurul Amna ditalian 0139898939.
Dalam pada itu, ADUN Pengkalan Kubor, Wan Roslan Wan Hamat melawat Madrasah Qiraati Ar Rahmaniah Geting untuk diambil tindakan susulan.