ALOR SETAR - Kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa anak muda yang mengundi PH pada PRU14 kekurangan ilmu agama, disifatkan sebagai penghinaan kepada golongan itu.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan sebegitu tidak sewajarnya diucapkan seorang pemimpin parti bertaraf ulama.
Menurutnya, pihaknya yakin anak muda yang mengundi PH memiliki intelektual tersendiri dan keputusan dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor, sama ada aspek agama, politik mahupun ekonomi untuk melakukan perubahan dalam negara.
"Kemenangan PH menjadi tragedi kepada Pas-UMNO sehingga Abdul Hadi sanggup lakukan penghinaan kepada anak muda, kononnya mereka tak mengaji kitab hanya kerana sokong PH pada PRU14,” katanya, selepas majlis penutup program seranta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan penyampaian faedah Perkeso serta sambutan Aidilfitri di Wisma Perkeso Kedah, di sini hari ini.
Semalam, Abdul Hadi menyifatkan 30 peratus anak muda yang mengundi PH pada PRU14 sebagai kekurangan ilmu agama sehingga gagal memahami Islam mengikut makna sebenar.
Malah dakwanya, disebabkan itu golongan muda melakukan kesilapan apabila menumbangkan BN, selain mengundang mudarat lebih besar dengan memilih PH.
Abdul Hadi dipetik berkata, pengundi muda yang mengundi PH tidak mengaji kitab dan tidak mengaji agama, sebaliknya mengaji dengan telefon bimbit, Facebook dan WhatsApp.
Mengulas dakwaan itu, Mahfuz sebaliknya menyifatkan anak muda sudah muak dengan sikap pemimpin Pas termasuk ulama parti itu, apabila memilih PH.
"Kaedah dakwah yang disampaikan parti itu sendiri bersifat maki hamun dan turut ditularkan. Ini yang menyebabkan rakyat khususnya anak muda muak dengan sikap pemimpin Pas.
"Kenyataan Abdul Hadi itu akan menambahkan lagi kemarahan anak muda terhadap Pas, seolah mereka buat keputusan tanpa pertimbangan agama,” katanya.
Menurutnya, kenyataan itu juga menggambarkan kemenangan PH merupakan tragedi besar kepada Pas-UMNO sehingga hilang kewarasan untuk hargai intelektual anak muda.
"Kajian sebelum ini nyatakan sokongan kepada PH menurun selepas PRU14, namun tidaklah sehingga saya anggap sebab anak muda tak mengaji kitab.
"Ini negara demokrasi, kita terbuka dan anak muda diberi kebebasan membuat keputusan,” katanya.
Mahfuz berkata, anak muda kini mampu berfikir secara matang dan membuat penilaian sendiri berlandaskan latar belakang pelbagai, sama ada agama mahupun profesional.