KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan segera dan tegas terhadap mereka yang terlibat dengan kejadian menimpa Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan berasaskan perundangan sedia ada.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, dalam masa yang sama rakyat Malaysia perlu bertenang dan meletakkan kepercayaan pada penguatkuasa undang-undang.
Iklan
Iklan
"Abim menghargai sumbangan, peranan serta pengorbanan para anggota keselamatan serta pihak berkuasa yang komited dan berintegriti dalam menjalankan tugas selain menyeru rakyat Malaysia agar berhati-hati serta tidak terperangkap dalam sentimen perkauman sempit yang hanya merumitkan keadaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad Raimi juga berkata para pemimpin politik perlu lebih berwaspada dan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, mengambil kira sensitiviti serta keharmonian masyarakat di Malaysia.
"Abim tidak bersetuju dengan mana-mana pihak yang menangguk di air yang keruh...Fokus utama kini haruslah ke arah mencari penyelesaian berlandaskan undang-undang serta meredakan keadaan tanpa dibayangi sebarang kepentingan tersembunyi," katanya.
Sementara itu, Abim turut menggesa kerajaan untuk memperkukuhkan Pendidikan Sivik, Demokrasi dan Kewarganegaraan agar rakyat dididik dengan nilai kasih sayang, saling hormat-menghormati dan mengutamakan kepentingan negara berbanding kepentingan diri, politik dan sebagainya.
"Rakyat Malaysia yang berbilang kaum telah terbukti dapat hidup dalam keadaan aman dan sentosa. Jangan keharmonian dihancurkan dengan bara perkauman yang mengundang ketegangan etnik dalam masyarakat," katanya.- Bernama