Sita kapal, lori tangki bersama diesel bernilai RM508,400

Iklan
Saharuddin bersama pegawainya melihat kapal tunda yang disyaki melakukan pemindahan diesel di jeti persendirian Sungai Kuang ketika meninjau semula lokasi seebuan petang semalam.

KEMAMAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu menyita kapal tunda dan lori tangki berisi 104,200 liter minyak diesel yang dipercayai diseleweng dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM508,400 sekali gus menjadi rampasan terbesar diesel di negeri ini untuk tahun ini.

Serbuan itu dilakukan lima anggota penguat kuasa KPDNHEP Cawangan Kemaman di jeti persendirian Sungai Kuang, di sini, pada jam 1 pagi semalam hasil risikan dan maklumat orang awam.

Iklan
Iklan

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, rampasan itu turut membawa kepada penahanan lima lelaki terdiri daripada empat kru kapal dan seorang pemandu lori tangki yang kesemuanya penduduk tempatan berusia lingkungan 30-an.

Katanya, hasil dari serbuan dan pemeriksaan yang dibuat didapati lori tangki berada berhampiran jeti dan terdapat hos saluran minyak yang disambungkan ke dalam kapal tunda disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel.

Iklan
Saharuddin (dua kanan) bersama Timbalan Pengarah KPDNHEP Terengganu, Nor Azmi Lamisza memeriksa hos yang digunakan untuk memindahkan diesel pada sidang media di Pejabat KPDNHEP Cawangan Kemaman petang semalam.

"Kita percaya berlaku urusniaga jual beli diesel tidak berlesen di tengah laut, kita syak kapal itu beli diesel dengan bot-bot nelayan. Diesel yang dibeli itu kemudian dibawa ke darat sebelum dipindahkan ke lori tangki dipercayai untuk dijual kepada pihak industri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat KPDNKHEP Cawangan Kemaman, di sini, petang semalam.

Iklan

Saharuddin memberitahu, pihaknya melakukan risikan selama tiga bulan sebelum berjaya melakukan rampasan berkenaan.

Menurutnya, kesemua lima suspek yang ditahan berada di lokasi kejadian semasa serbuan dijalankan.

Kata beliau, kelima-lima suspek akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda perseorangan sebanyak RM1 juta dan penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi syarikat perbadanan, denda boleh dikenakan tidak lebih RM2 juta.

"Kita merakamkan terima kasih kepada orang awam yang salurkan maklumat untuk pastikan penyelewengan minyak subsidi dapat dibanteras seterusnya dapat pastikan barangan kawalan sampai kepada golongan sasar," tegasnya.