PASIR GUDANG -"Sudah hampir seminggu saya hanya tidur-tidur ayam kerana bimbang dengan keselamatan anak gadis saya," luah Norizan Bidin, 49.
Pengawal keselamatan dari Bandar Seri Alam, di sini, bimbang dengan keselamatan anak gadisnya, Fatin Nur Nadia, 16, yang gagal dikesan selepas menghilangkan diri daripada kediaman keluarga di Jalan Tasek 64, Bandar Seri Alam, Masai sejak 5 petang pada 10 Jun lalu.
Menurutnya, setiap kali dihubungi seseorang individu yang memberi maklumat berkaitan anak kedua daripada enam beradik itu, dia terus keluar mencarinya tidak kira sama ada lokasi jauh atau dekat.
"Bagaimanapun, sehingga kini semua maklumat diberikan kurang tepat namun saya masih tidak berputus asa kerana tanpa Fatin Nur Nadia, saya mahupun ahli keluarga merasakan kekurangan.
"Sebelum meninggalkan kediaman dia tidak pernah bercerita permasalahan dialaminya dan apabila dia bertindak menghilangkan diri secara tiba-tiba saya amat tertekan serta keliru," katanya.
Norizan memberitahu, dia terpaksa berhutang dengan kenalan semata-mata untuk membelikan telefon bimbit untuk anaknya itu beberapa hari sebelum sambutan Hari Raya bagi memenuhi kehendaknya.
"Kini genap seminggu anak saya menghilang dan pelbagai usaha telah dijalankan untuk mengesannya termasuk di kawasan sekitar Pasir Gudang, Gelang Patah dan di Melaka selepas hasil maklumat orang ramai selepas hebahan dilakukan di laman sosial Facebook.
"Sehingga kini, saya tidak mengetahui punca Fatin Nur Nadia menghilangkan diri dan harap dia segera pulang ke pangkuan keluarga bagi membincangkan masalah dialami dan mencari penyelesaian.
"Kami memang orang susah dan saya tidak mampu menyediakan kemudahan lengkap bagi anak-anak namun saya menyayangi kesemua mereka termasuk Fatin Nur Nadia," katanya.
Berikutan itu, dia berharap orang ramai yang mempunyai maklumat tentang anaknya itu dapat membantunya demi masa depan gadis berkenaan.
"Sebagai bapa, saya tidak mahu dia keciciran sekolah dan apa-apa kejadian tidak diingini menimpanya.
"Kami bersedia memaafkannya dan hanya berharap Fatin Nur Nadia menghubungi saya secepat mungkin," katanya yang memberitahu telah membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya itu di Balai Polis Seri Alam.
Orang ramai yang memiliki sebarang maklumat berkaitan Fatin Nur Nadia diminta menghubungi Norizan di talian 013-2924174.