KOTA BHARU - Pengerusi PKR Kelantan, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Naib Ketua Cabang PKR Ketereh, Mohd Sukirman Mustafa yang memfitnahnya.
Katanya, saman fitnah itu akan dibuat setelah Mohd Sukirman bersama lebih 50 wakil-wakil dan ketua-ketua Cabang parti itu membuat sidang akhbar supaya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneliti kembali pelantikan Mohamad Suparadi sebagai Pengerusi PKR negeri ini.
"Saya mahu Mohd Sukirman tarik balik kenyataannya dan buat permohonan maaf secara terbuka kepada saya.
"Ini sudah jadi fitnah. Jika tidak, saya akan ambil tindakan undang-undang dan fail saman fitnah terhadap beliau," katanya.
Dakwaan mengatakan dirinya terlibat dalam salah laku dan dibawa ke peringkat siasatan SPRM adalah berbaur fitnah sedangkan tidak pernah sekali pun terpalit dengan mana-mana kes atau salah laku, termasuklah dipanggil SPRM untuk membantu siasatan atau sebagainya.
Ia berikutan dakwaan yang mengatakan Mohamad Suparadi mempunyai masalah salah laku dan disiasat oleh SPRM.
Dalam pada itu, Mohamad Suparadi juga menegaskan tidak akan mengalah dengan apa yang berlaku terutamanya desakan untuk melepaskan jawatan tersebut dan yakin pelantikan yang dilakukan Anwar.
"Datuk Seri Anwar yang lantik saya dan hanya beliau boleh tentukan kedudukan saya. Tak perlulah kumpulan itu buat huru-hara kerana beliau (Anwar) tahu buruk baik dan boleh menilai semua aspek. Selagi saya diberi mandat oleh Presiden, saya tidak akan berundur," katanya.
Beliau juga memberitahu, pengalaman selama 38 tahun dalam arena politik tanah air digunakan sebaik mungkin untuk menjadi tunjang utama misinya membangunkan parti.