KUALA NERANG - UMNO mahu ahlinya kembali kepada semangat juang tinggi dengan menyemai keinginan untuk memenangi semula pilihan raya sebagai kerajaan.
Itu antara pesanan Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid kepada perwakilan yang hadir pada mesyuarat UMNO Bahagian Padang Terap, hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Padang Terap itu, beberapa aspek harus ditambahbaik sebagai persediaan berdepan PRU15, antaranya dengan menggariskan empat perkara penting untuk kembali menawan negeri mahupun Putrajaya.
"Kekuatan dalaman parti juga harus dikukuhkan dan perlu ada kesetiaan. Malah kerjasama bersama Pas yang kini semakin erat harus terus disuburkan, bukan sahaja di peringkat tertinggi namun termasuk akar umbi,” katanya, selepas perasmian mesyuarat perwakilan tersebut.
Mahdzir turut menyifatkan kerjasama dua parti itu sebagai luar biasa kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Kerjasama ini bertambah baik dan lancar, malah terdapat cawangan Pas dan UMNO yang anjur sambutan Aidilfitri bersama.
"Peringkat kampung turut tunjukkan kerjsama erat, ia amat berbeza dengan situasi dahulu,” katanya.
Menurutnya, keresahan rakyat terhadap prestasi PH selepas setahun mentadbir juga antara penyumbang kepada kebangkitan UMNO susulan rakyat semakin resah berdepan ketidaktentuan ekonomi.
"Rakyat resah kerana kerajaan PH gagal bawa suasana ekonomi yang baik. Ini penting kerana ekonomi domestik mahupun global boleh menjejaskan kehidupan rakyat, antaranya harga barangan masih belum ditangani sebaiknya,” katanya.
Mahdzir berkata, kegelisahan rakyat bertambah apabila terlalu banyak ancaman menerusi media sosial berhubung kehidupan beragama dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.
"Kes penghinaan agama dan Raja Melayu berterusan dan berleluasa, diharap pihak berkuasa tangani isu ini sebaik mungkin susulan momokan berlebihan di media sosial, ia wajar diambil tindakan dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Menurutnya, pihaknya turut mempersoal peruntukan pembangunan luar bandar untuk membantu melonjakkan ekonomi khususnya orang Melayu, dalam aspek pembangunan, kesihatan, pendidikan dan sosial.
"Ramai kalangan B40 perlukan bantuan tetapi kerajaan PH seolah tidak serius tangani isu ini, janji dibibir bukan sekadar kosmetik.
"Harus ada satu lonjakan untuk tangani ekonomi domestik dan kegelisahan rakyat. Kerajaan harus fikirkan, tak perlulah pambangkang ajar macam mana nak tangani,” katanya.