'Kami dah tak tahan bau busuk'

Iklan
Penduduk menunjukkan lokasi tapak pembuangan sampah secara haram. Gambar kecil: Vanessa

KUALA LUMPUR - Kami dah tak tahan dengan bau ini, demikian luahan hampir 1,500 penduduk di perumahan Kinrara Mas dan kawasan sekitar tapak pembuangan sisa sampah haram berhampiran kediaman mereka di sini.

Penduduk mendakwa keadaan tersebut bertambah rumit apabila ada yang mengalami masalah kesihatan gara-gara sampah yang dibuang di lokasi tersebut.

Iklan
Iklan

Dakwa mereka lagi, keadaan semakin hari semakin buruk apabila air dari sisa pembuangan sampah haram tersebut telah mengalir hingga ke kawasan semak berhampiran perumahan mereka.

Penduduk, OL Law, 45, berkata, keadaan ini dikesan sejak beberapa bulan yang lalu dan keadaan seolah tidak berubah biarpun telah diajukan kepada pihak yang berwajib.

Iklan

"Bau yang datang dari sisa sampah haram ini bukan bau sampah biasa, kerana sampah yang dibuang ini bukan sisa sampah rumah, sebaliknya daripada tapak pembinaan, dari mana itu saya tak tahu.

"Bayangkan ada sekali tu hampir 20 hingga 30 lori datang buang sampah di sini dalam tempoh beberapa bulan, ada yang kata mereka telah alihkan sampah walhal bukan alih sebaliknya mereka ratakan sampah tersebut jadi sisanya sudah masuk ke dalam tanah.

Iklan

"Bila hujan menyebankan kawasan ini mengalirkan air ke kawasan semak berhampiran, ini yang mengakibatkan bau busuk," katanya.

Penduduk, M Ananthan, 44, berkata, apa yang membimbangkan terdapat beberapa penduduk mengalami alahan gara-gara sampah ini.

"Ada beberapa penduduk mengalami masalah berkaitan paru-paru, ada yang selesema, itu yang dewasa, yang kanak-kanak usah cakaplah, memang selalu selesema.

"Sebab hari-hari hidu, baunya memang sangat busuk, saya sendiri pun sudah beberapa hari selesema, memang tak tahan macam ini, tapi kami nak buat macam mana, kami tinggal di sini, nak ke tak memang kena hadapi," katanya.

Penduduk mengadakan bantahan mendesak agar isu berkaitan pencemaran tapak sampah haram ini diselesaikan segera oleh pihak berwajib.

Katanya, perkara ini sudah pun dibawa kepada pihak berwajib namun setakat ini keadaan masih tidak berubah.

"Kita telah bawakan kepada pihak yang berwajib dan masa sama saya akui ada pihak yang turun dan tinjau akan permasalahan ini.

"Namun setakat ini masalah sama masih lagi berlaku, bau masih lagi ada, bahkan makin lama keadaan makin buruk," katanya.

Ahli Jawatakuasa Perbadanan Pengurusan Kinrara Mas Vanessa Liew berkata, isu pencemaran ini menjadi begitu serius sehingga bau busuk toksik boleh dihidu dalam radius 500 meter kawasan persekitaran Jalan Mas 1 khususnya selepas hujan.

"Ramai penduduk mengadu sakit dan kurang selesa dengan keadaan yang berlaku ini selain besi serta logam telah berkarat.

"Malah tumbuhan sekitar tanah juga telah bertukar pada kadar cepat akibat pencemaran sisa toksik ini," katanya.

Katanya, penduduk di kawasan ini merayu agar Menteri Tenaga Air dan Komunikasi, Yeo Bee Yin dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok memastikan sisa pencemaran yang berlaku ini di atasi segera.

"Kami berharap agar masalah ini dapat diselesaikan segera, ramai yang mengeluh dengan keadaan ini.

"Apa yang kami gusarkan keadaan ini makin lama makin buruk, kasihanilah kami, kami sudah tidak tahan lagi dengan keadaan ini," katanya.