Lima mitos biasa mengenai kesihatan

Iklan
MASYARAKAT Malaysia terkenal dengan pantang larang yang diwarisi sejak turun-temurun. Tujuannya adalah baik iaitu untuk mengelakkan tabiat atau amalan yang buruk. Namun, sebahagiannya adalah salah daripada sudut fakta terutamanya yang melibatkan kesihatan.

Mari ketahui lima mitos perubatan yang sering berlegar dalam masyarakat di Malaysia.

1. Suplemen lebih baik dari ubat

Dengan lambakan produk suplemen di pasaran, ditambah dengan pelbagai medium untuk mempromosikan produk tersebut termasuk radio dan televisyen, ada yang mendakwa bahawa suplemen lebih baik berbanding ubat sehingga mereka tidak mahu mengambil ubat.

Ia adalah dua perkara yang berbeza dan bukannya alternatif. Tambahan pula, banyak suplemen yang tidak diuji secara menyeluruh dari sudut keselamatannya. Lebih teruk lagi apabila ia berselindung di atas nama agama!

2. Tidak makan ubat tahan sakit kerana risau rosak buah pinggang

Tidak semua ubat tahan sakit menjejaskan buah pinggang. Ubat tahan sakit yang biasa digunakan seperti ubat anti-radang bukan steroid (NSAID) memang boleh mengurangkan aliran darah kepada buah pinggang, tetapi ia hanya akan merosakkan buah pinggang jika digunakan dalam tempoh terlalu lama atau dalam dos yang terlalu tinggi. Jika anda menurut dos yang dipreskrip oleh doktor, buah pinggang anda akan selamat.

3. Mandi malam menyebabkan paru-paru berair

Paru-paru berair adalah keadaan di mana terdapat cecair di dalam lapisan yang meliputi paru-paru. Dalam istilah perubatan, ia disebut sebagai pleural effusion. Antara puncanya adalah kegagalan jantung, jangkitan tuberkulosis atau trauma pada paru-paru. Tiada bukti yang menunjukkan mandi malam boleh mengakibatkannya.

4. Mengambil air tulang belakang menyebabkan lumpuh

Prosedur ini dinamakan lumbar puncture dan ia melibatkan jarum yang dicucuk antara tulang belakang, kebiasaannya antara tulang lumbar nombor 3 dan 4, untuk mengambil cecair yang mengelilingi urat saraf tunjang. Prosedur ini adalah selamat dan dilakukan oleh pegawai yang terlatih. Ia sangat penting untuk memberikan maklumat tertentu tentang pesakit terutamanya yang melibatkan penyakit saraf.

5. Makan sebiji panadol akan kekal di dalam badan selama lima tahun

Fahaman ini menyebabkan masyarakat takut mengambil panadol untuk menghilangkan rasa sakit atau pening kepala kerana risau panadol yang kekal di dalam badan boleh merosakkan buah pinggang. Panadol sebaliknya hanya kekal di dalam badan selama beberapa jam dan ia diuraikan oleh hati, bukannya buah pinggang.

Sumber: https://hellodoktor.com/