ISLAM amat mementingkan soal kebersihan dalam kehidupan seharian.
Ia boleh dilihat apabila ALLAH SWT mensyariatkan wuduk sebelum menunaikan solat atau membaca al-Quran dan mandi wajib bagi mereka yang berhadas besar.
Jika ada kekotoran dalam kuku dan daki pada badan, bagaimana pula? Perlukah ia dibuang terlebih dahulu? Adakah sah wuduk dan mandi wajib kita jika tidak dibuang?
Dalam perkara berkaitan mandi wajib, Imam Nawawi menyebut, terdapat tiga perkara yang mewajibkan seseorang itu berbuat demikian iaitu tenggelamnya hasyafah (kepala zakar) ke dalam faraj, keluar air mani, keluar darah haid atau nifas sebelum menunaikan ibadah.
Ia sebagaimana firman ALLAH SWT:"Dan jika kamu jubub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib." (Surah al-Maidah, ayat 6)
Syarat fardu bagi mandi jubub ada tiga:
1. Niat. Hendaklah seseorang itu berniat mandi wajib bagi membolehkannya melaksanakan ibadah yang haram dilakukan kerana junub.
2. Membersihkan najis dan kotoran yang melekat pada badan dan menghalang air daripada sampai ke kulit.
3. Meratakan air ke seluruh anggota badan termasuk kulit dan bulu-bulu yang ada pada badan.
Selain itu, disunatkan untuk menggosok keseluruhan badannya ketika mandi junub. Bahkan, menurut Imam Malik, beliau mewajibkannya kerana meratakan air sahaja tidak mencukupi dan tidak sempurna.
Bagaimanapun, kotoran yang sedikit seperti daki, tidak menghalang air daripada terkena kulit.
Oleh itu, sah hukum mandi wajib walaupun tidak menghilangkan daki tersebut terlebih dahulu.
Namun, bagi kotoran yang terdapat di dalam kuku pula, ulama berbeza pandangan seperti berikut:
Pandangan pertama: Jika sekiranya kotoran pada bawah kuku tersebut terjadi daripada suhu atau tindak balas semulajadi badan, maka ia tidak menjejaskan sah mandi dan wuduk tersebut. Namun, sekiranya kotoran itu daripada kotoran luar seperti tanah, tepung dan sebagainya, maka wajib untuk menghilangkannya terlebih dahulu supaya sampai air ke bawahnya.
Pandangan kedua: Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumuddin dan para ulama yang sependapat dengan beliau, berpandangan bahawa tidak wajib untuk menghilangkan kotoran di bawah kuku tersebut.
Pun begitu, pandangan pertama perlu dititikberatkan kerana kita perlu berjaga-jaga kerana dikhuatiri kotoran tersebut menghalang kulit dari terkena air dan sebagai langkah untuk keluar daripada khilaf.
Oleh itu, kita hendaklah menghilangkan dahulu kotoran yang ada di bawah kuku sebelum mengambil wuduk atau mandi wajib.
Dengan mengamalkan cara kebersihan yang betul, insya-ALLAH akan sempurna ibadah kita.
(Sumber: Al-Kafi #1161: Sahkah Wuduk atau Mandi Wajib Jika Terdapat Kotoran Dalam Kuku dan Kaki pada Badan?, Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)