KUANTAN - Kera menjadi antara punca pembiakan nyamuk Aedes sehingga menyebabkan penyebaran wabak demam denggi di Taman Perumahan Balok, Pine di sini.
Haiwan tersebut dikatakan membawa sampah termasuk bekas yang boleh menakung air dibawa kera ke dalam hutan mengundang berlakunya masalah itu.
Pengerusi Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Balok Pine, Asbollah Ibrahim berkata, banyak sampah plastik dan bekas minuman yang dilarikan haiwan itu terdapat dalam hutan sejak beberapa tahun lalu.
"Dulu banyak kera di sini, tapi kini jumlahnya semakin kurang selepas operasi menangkap dilakukan Jabatan Perlindungan Hidupan liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menggunakan perangkap kotak khas.
"Haiwan itu dah ditangkap tapi kita lihat banyak sampah sarap seperti plastik dan bekas minuman tetap masih banyak terdapat dalam hutan, air yang bertakung menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes," katanya.
Beliau berkata demikian pada program gotong-royong membersihkan kawasan itu hari ini.
Hadir sama Pegawai Perubatan Unit Vektor Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan, Dr Aladdin Mohd.
Program anjuran PKD Kuantan dengan kerjasama agensi lain disertai lebih 150 penduduk setempat yang menumpukan kepada melupuskan sampah plastik dan bekas minuman terdapat dalam hutan.
Dalam pada itu, Asbollah berkata, sudah dua kali wabak denggi yang berlaku di taman perumahan Balok Pine tahun ini dan terbaharu bulan ini menyebabkan 31 kes demam denggi dalam kalangan penduduk.
Jelasnya, penduduk kini bimbang dengan penularan demam denggi dan berharap penduduk dapat melakukan aktiviti pembersihan setiap hujung minggu.
Sementara itu, Dr Aladdin menasihatkan penduduk agar menjaga kebersihan terutama memastikan tiada bekas yang boleh menakung air.
"Saya dapati ada banyak sampah dan bekas minuman yang menakung air dalam kawasan hutan berhampiran taman perumahan ini yang menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
"Jadi saya harap penduduk dapat memberi perhatian serius terhadap kebersihan persekitaran untuk mengelak wabak denggi tidak terus berulang," katanya.