UMNO nekad rampas semula DUN Semerah

Iklan
Zulkurnain (empat, kiri) bersama Najib (tengah) selepas Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Parit Sulong di Hotel Katerina, Batu Pahat.

BATU PAHAT – UMNO Bahagian Parit Sulong akan berusaha sedaya upaya dalam PRU15 akan datang untuk merampas kembali DUN Semerah yang terlepas ke tangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 yang lalu.

Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, beliau yakin berdasarkan angin perubahan politik semasa dan penyatuan ummah bersama Pas, UMNO dan BN dapat merampas semula kerusi tersebut.

Iklan
Iklan

"Kita kalah pada PRU14 termasuk kehilangan kerusi DUN Semerah bukan disebabkan UMNO dan BN tidak kuat, tetapi kekalahan ini disebabkan perpecahan yang berlaku sesama sendiri selain ada yang terpengaruh dengan manifesto PH yang bersifat retorik.

"Namun, hari ini selepas hampir setahun PH menjadi kerajaan, rakyat sudah mula berubah dan sedar bahawa UMNO merupakan satu-satunya parti yang tidak membohongi rakyat dan sebab itu kita (UMNO) masih relevan dan terus diterima sehingga sekarang," katanya.

Iklan

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Medan berkata demikian dalam ucapannya semasa Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Parit Sulong yang dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Hotel Katerina, di sini, petang semalam.

Turut hadir ialah Ketua UMNO Negeri Johor, Datuk Ir Hasni Mohamad; Ketua Wanita UMNO Negeri Johor, Asiah Md Ariff dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad.

Iklan

Menurutnya, perancangan dan gerak kerja dalam mendekati rakyat juga telah bermula daripada dahulu dan bukannya secara bermusim dan beliau percaya pengundi di DUN Semerah juga telah sedar dan melihat perkara ini.

"Pada PRU14 lalu, calon kita hanya kalah tipis pada PKR iaitu hanya 98 undi sahaja dan sebab itu kita perlu bersedia dari sekarang agar kita dapat mengekalkan kemenangan di Parlimen Parit Sulong, DUN Seri Medan dan seterusnya merampas semula DUN Semerah.

"Saya menaruh harapan dan komitmen tinggi terhadap 142 UMNO Cawangan di bahagian ini dan parti-parti komponen BN di Parlimen Parit Sulong termasuk kerjasama Pas kerana sedar perkara tersebut bukan satu usaha yang mudah dan kita perlu bekerja bersama-sama," katanya.

Sementara itu, Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata, beliau juga telah mengarahkan semua ketua-ketua Wanita UMNO negeri untuk memulakan gerak kerja bagi menghadapi PRU15 selain memastikan setiap ahlinya tidak terlepas sebarang maklumat penting walaupun BN sudah tidak menjadi kerajaan lagi.

Menurutnya, walaupun ahli-ahli Wanita sudah menerima hakikat kekalahan BN pada PRU14, beliau secara peribadi tidak sampai hati melihat rakyat di negara ini ditindas dan ditipu oleh PH.

"Jadi, saya minta ahli di peringkat kepimpinan dan akar umbi supaya menilai cara kerja kita sebelum ini dan pastikan program-program mendekati rakyat seperti Jalinan Rakyat diteruskan kerana terbukti memberi manfaat," katanya.