JOHOR BAHRU - Pusat Beli-Belah Toppen yang bakal beroperasi November ini di Tebrau mempunyai daya tarikan tersendiri apabila mengangkat konsep mesra keluarga di atas bumbung bangunan itu.
Konsep yang pertama kali dibawa ke negara itu dijangka bakal menjadi tarikan utama pengunjung ke pusat beli-belah milik IKEA Asia Tenggara berkenaan.
Pengarah Pusat Beli-Belah dan Kepelbagaian Asia Tenggara, Christian Olofsson berkata, ruang interaksi atas bumbung yang digelar The Topp itu menyediakan pelbagai fasiliti.
"The Topp akan menjadi tempat yang menarik untuk keluarga dengan disediakan pelbagai fasiliti termasuk gelanggang papan selaju, taman permainan kanak-kanak, ruangan e-sports, taman rekreasi air kanak-kanak, panggung wayang dan gelanggang serbaguna.
"Ruang luaran yang interaktif ini akan menempatkan lebih 30 kedai makanan dan minuman berkonsepkan 'al-fresco' sehingga lewat malam. Konsep seumpama ini tidak pernah dibuat lagi di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Toppen JB, di sini hari ini.
Katanya, The Topp akan mempunyai zon berbeza bagi memenuhi citarasa pengunjung yang mempunyai pelbagai latar belakang.
Menurutnya lagi, Toppen menawarkan rakyat Johor dan pelancong sebuah destinasi membeli-belah yang lengkap untuk meluangkan masa berkualiti bersama rakan-rakan dan keluarga.
"Kami sangat teruja dan terdorong untuk membina sebuah destinasi pertemuan yang akan menjadi tarikan dan hab untuk komuniti di kawasan sekitar.
"Rangka strategi kami mengutamakan komuniti sekeliling, maka kami yakin Toppen dan IKEA Tebrau akan menjadi mercu tanda runcit terunggul di Selatan Malaysia di mana pelanggan dan perniagaan boleh berkembang seiring.
"Saya harap Toppen akan menjadi lokasi pertemuan antara rakan dan keluarga," katanya.
Mengambil kira isu kesesakan jalan raya di kawasan sekitar Tebrau, pihaknya menambah akses keluar masuk serta menyediakan 4,600 tempat letak kereta.
Pihaknya menyasarkan 15 juta pengunjung setahun ke pusat beli-belah empat tingkat dengan keluasan 1.1 juta kaki persegi itu menjelang tahun 2020.