TOKYO - Jepun menolak dakwaan Amerika Syarikat (AS) bahawa Iran dalang serangan dua kapal tangki di Teluk Oman minggu lalu.
Agensi berita Kyodo dalam laporannya memetik pegawai kerajaan sebagai berkata, Tokyo menuntut Washington supaya meniliti semula insiden itu sambil menambah video dikeluarkan AS samar dan tidak cukup untuk mengaitkan Teheran sebagai dalang serangan.
Dalam video tersebut, sebuah bot dirakam bergerak menghampiri kapal tangki Jepun sebelum seorang individu yang berada di atas bot berkenaan memindahkan sesuatu objek yang didakwa AS sebagai periuk api.
Dakwaan AS itu bagaimanapun ditolak pengendali kapal tersebut dan Presiden Kokuka Sangyo, Yukata Katada kelmarin yang memberitahu salah seorang anak kapal Kokuka Courages ternampak objek terbang sebelum berlaku kebakaran.
Kesahihan video berkenaan turut dipersoal wartawan penyiasatan Barat serta penganalisis pertahanan yang mempertikaikan mengapa video itu tidak memaparkan situasi sebelum objek dipindahkan dari bot kepada kapal berkenaan.
Selain Kokuka Courages, kapal tangki Norway Front Altair turut terbakar dalam serangan tersebut.
Serangan itu berlaku sebulan selepas empat buah kapal tangki minyak diserang di perairan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Serangan misteri itu meningkatkan lagi ketegangan antara Teheran dan sekutu Washington di Teluk, selain mengakibatkan harga minyak melonjak naik. - Agensi