Bekas eksekutif bank didakwa pecah amanah

Iklan

KUALA LUMPUR - Seorang bekas eksekutif operasi dan khidmat pelanggan sebuah bank didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang RM9,200 milik seorang individu, tiga tahun lepas.

J.G Subashini Tan, 32, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim M.M Edwin Paramjothy.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, Subashini sebagai eksekutif operasi dan khidmat pelanggan yang digajikan oleh Hong Leong Bank yang diamanahkan dengan harta iaitu wang tunai RM9,200 milik seorang individu didakwa telah melakukan pecah amanah jenayah dengan menyalahgunakan harta itu.

Wanita itu didakwa melakukan perbuatan itu di Hong Leong Bank Ground & Mezzanine Floor Wisma Sin Heap Lee, Jalan Tun Razak di sini pada 13 Ogos 2017.

Iklan

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 14 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Hajar Hamzah menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Iklan

Bagaimanapun, Subashini yang diwakili peguam Razman Sahat memohon supaya jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Julai untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.