Clare diarah fail afidavit balasan

Iklan

KUALA LUMPUR - Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown dan dua pihak lagi diarah memfailkan afidavit balasan terhadap permohonan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah supaya kes saman fitnah berhubung buku ‘The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose’ diputuskan oleh mahkamah tanpa perbicaraan.

Perkara itu dimaklumkan peguam Vishu Kumar, yang mewakili Sultanah Nur Zahirah selaku plaintif pada pengurusan kes itu dalam kamar Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim di sini hari ini.

Iklan
Iklan

Menurut Vishu, mahkamah menetapkan 25 Jun ini pihak defendan memasukkan afidavit jawapan.

Sekiranya Clare gagal mengemukakan jawapan terhadap permohonan itu, mahkamah akan meneruskan penghakiman terhadap permohonan Sultanah Sultanah Nur Zahirah.

Iklan

Pada 27 Mei lalu, Sultanah Nur Zahirah memohon supaya Mahkamah Tinggi memutuskan kes saman fitnah yang dikemukakan pihaknya terhadap Clare Rewcastle Brown dan dua yang lain ditentukan melalui penghakiman terus (summary judgment) iaitu tanpa perbicaraan.

Permohonan itu difailkan melalui Perintah 14A (penghakiman terus) dan mahkamah akan membuat keputusan dengan alasan fakta yang sudah dinyatakan dalam afidavit.

Iklan

Pada 30 Januari lalu, Mahkamah Tinggi di sini menetapkan lima hari bermula 25 November ini untuk perbicaraan kes saman tersebut dengan sembilan orang saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan termasuk Sultanah Nur Zahirah dan Clare dalam perbicaraan yang bermula dari 25 hingga 29 November itu.

Pada 21 November tahun lalu, Sultanah Nur Zahirah selaku pihak plaintif memfailkan saman terhadap Rewcastle-Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin dan pencetak buku tersebut, Vinlin Press Sdn. Bhd. masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Saman tersebut berhubung petikan dalam buku The Sarawak Report: The Inside Story of The 1MDB Expose yang mengaitkannya dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Berdasarkan writ saman dan penyata tuntutan yang diperoleh melalui carian sistem mahkamah, Sultanah Nur Zahirah mendakwa kenyataan Rewcastle-Brown pada Ogos lalu membawa maksud pihaknya telah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan Terengganu, menggunakan peranannya untuk mempengaruhi penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) serta menolong Jho Low bagi mendapatkan peranan sebagai penasihat dalam TIA dan terlibat dalam amalan rasuah.

Clare didakwa membuat kenyataan memfitnah di dalam buku The Sarawak Report: The Inside Story of The 1MDB Expose yang mengaitkan Sultanah Terengganu dengan Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho serta skandal 1MDB.

Buku itu didakwa menceritakan kisah di sebalik siasatan skandal 1MDB oleh Clare yang dilancarkan pada 8 September lalu.