Bot pukat tunda ditahan, hasil ikan RM2,500 dirampas

Iklan
Tekong serta awak-awak warga Indonesia yang ditahan PPM di Perairan Kuala Selangor, semalam, kerana melanggar peraturan di bawah Akta Perikanan 1985.

PELABUHAN KLANG - Kegiatan haram bot nelayan pukat tunda kelas B yang dikendalikan warga asing menangkap ikan di Perairan Kuala Selangor dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) menerusi Ops Gelora, semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Khairuddin Jamal berkata, kegiatan itu berjaya dikesan kira-kira jam 5.30 petang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemeriksaan telah menahan empat warga Indonesia berusia lingkungan 21 hingga 33 tahun.

"Siasatan awal mendapati seorang daripada mereka berperanan sebagai tekong, manakala tiga lagi adalah awak-awak.

Iklan

"PPM kemudian bertindak merampas pelbagai jenis ikan hasil tangkapan bernilai RM2,500 dan bot serta peralatan bernilai RM125,000," katanya kepada Sinar Harian.

Sebuah bot pukat tunda kelas B yang ditahan PPM di Perairan Kuala Selangor, semalam, kerana melanggar peraturan di bawah Akta Perikanan 1985.

Beliau berkata, kesemua rampasan terbabit kemudian dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan selanjutnya.

Iklan

Katanya, antara kesalahan yang dikesan adalah menggunakan pekerja asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia selain saiz mata pukat bahagian keroncang kurang daripada 38 milimeter (mm) ukuran tegang.

"Kes ini disiasat di bawah Akta Perikanan 1985. Kes diserah kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Perikanan Kuala Selangor untuk tindakan selanjutnya," katanya.