Pemilik spa tanpa lesen didenda RM100,000

Iklan
Farabi Ahmad ketika berada di luar kamar mahkamah sebelum perbicaraan bermula.

KUALA TERENGGANU - Seorang pemilik spa didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini selepas didapati bersalah menjalankan perniagaan tanpa lesen sah, dua tahun lalu.

Tidak cukup dengan itu, tertuduh, Farabi Ahmad Mohd Amin @ Che Min, 31, pemilik Raisya Medispa berdepan hukuman setahun penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Iklan
Iklan

Hakim Azman Mustapha membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyediakan satu klinik perubatan swasta tanpa pendaftaran sah oleh Ketua Pengarah Kesihatan di bawah Seksyen 27, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) yang mana premis tersebut didapati menyediakan amalan perubatan estetik.

Iklan

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di premis Raisya Medispa di Jalan Besar Sura Gate, Dungun kira-kira jam 11.15 pagi, pada 13 April 2017.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan subseksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dan boleh dihukum di bawah subperenggan 5(1)(a)(I) Akta yang sama.

Iklan

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda RM300,000 atau penjara enam tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli, Pegawai Pendakwa Jabatan Kesihatan Putrajaya, Dr Abu Bakar Ismail dan Norzaizeli Abu Samah manakala tertuduh diwakili peguam bela, Masliela Ismail dan Ghazali Ismail daripada Tetuan Ghazali Ismail&Co.

Berdasarkan fakta kes, serbuan dan pemeriksaan oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta, Jabatan Kesihatan Terengganu di jalankan di sebuah premis kecantikan disyaki menjalankan amalan perubatan estetik.

Semasa pemeriksaan menjumpai peralatan-peralatan dan ubat-ubatan yang disyaki digunakan dalam amalan perubatan estetik di premis tersebut tanpa didaftarkan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998( Akta 586).

Pemilik premis (tertuduh) diminta mengemukakan akuan pendaftaran klinik perubatan swasta, sijil amalan tahunan dan letter of credentialing and privileging aesthetic medical practice (LCP) yang sah jika ada.

Bagaimanapun tertuduh gagal mengemukakan perakuan pendaftaran klinik perubatan swasta bagi premis tersebut atau sijil kelayakan beliau sebagai pengamal perubatan.

Seterusnya, beberapa peralatan dan ubat-ubatan telah dirampas bagi membuktikan kesalahan sebagaimana di dalam senarai bongkar.