PETALING JAYA - Seorang peniaga di pasar borong didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini atas dua tuduhan mendera dua anak angkatnya di sini hujung bulan lalu.
Muhammad Rajah Abdullah, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun sehingga mangsa mengalami kecederaan pada muka, tangan, pinggang dan kaki.
Dia juga mengaku tidak bersalah menganiaya kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada kedua-dua tangannya.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukannya di rumahnya di Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan di sini, jam 6 petang pada 30 Mei lalu.
Pendakwaaan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Kiat Mee tidak menawarkan sebarang jaminan bagaimanapun mencadangkan jaminan yang tinggi sekiranya mahkamah membenarkannya.
Muhammad Rajah yang diwakili peguam, T Harpal Singh merayu denda yang minima.
Hakim Hilmiah Yusof membenarkan jaminan RM13,000 dengan seorang penjamin dan sebagai syarat tambahan lelaki itu diperintah melaporkan diri setiap bulan di balai polis berdekatan.
Mahkamah menetapkan 18 Julai depan untuk sebutan semula kes.