Dividen Nafas lapan peratus: Salahuddin

Iklan
Salahuddin mengumumkan dividen ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di Petaling Jaya hari ini. -Foto: Sinar Harian Sharifudin Abdul Rahim

PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) meneruskan pemberian dividen kepada pelaburnya dengan mengumumkan Dividen Dana Peladang Kebangsaan (DPK) 2018 sebanyak lapan peratus untuk Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP).

Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub sebentar tadi pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Nafas 2019 di Tropicana Golf & Country Club di sini hari ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dana tersebut mencatatkan keuntungan sebanyak RM9.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 melibatkan seramai 5,119 pelabur.

"Jumlah keseluruhan agihan dividen bagi tahun 2018 adalah sebanyak RM7.6 juta, naik 0.7 peratus berbanding RM7.5 juta pada tahun 2017.

Iklan

"Walaupun dividen nominal jika dibandingkan dengan tahun 2017, DPK mampu memberikan pulangan yang kompetitif dan melebihi kadar inflasi secara konsisten dengan purata dividen sebenar bagi tiga tahun secara berturut-turut adalah 9.3 peratus,” katanya pada sidang media selepas pengumuman tersebut di sini hari ini.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, penggantungan pada Jun tahun lalu tidak menjejaskan kadar dividen yang diberikan.

Iklan

"Saya percaya dengan kepimpinan baharu Nafas, diharapkan tahun depan akan dapat beri terbaik (dividen) daripada tahun ini,” katanya.

Tambahnya, DPK sentiasa berusaha mempertingkatkan prestasi untuk menjadi lebih kukuh.

"Sehubungan itu, DPK telah mula mempelbagaikan aktiviti pelaburan dengan alternatif pelaburan berisiko rendah dan sederhana rendah serta meneroka produk pembiayaan baharu. Manfaat daripada perkara itu, pelabur akan berpeluang untuk menikmati dividen yang lebih konsisten setiap tahun,” katanya.

Pada majlis tersebut Salahuddin turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 35 anak yatim Rumah Bakti Cahaya Hati, Rawang dan anak istimewa kakitangan Nafas.