Penuntut IPTA rugi RM18,983

Iklan
Gambar hiasan.- Gambar kecil: Noorzainy

KEPALA BATAS - Seorang penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) mengalami kerugian berjumlah RM18,983 selepas diperdaya sindiket yang menawarkan pelaburan tidak wujud, baru-baru ini.

Dalam kejadian 4 Jun lalu, mangsa telah tertarik dengan iklan pelaburan di media sosial yang kononnya menjamin keuntungan lumayan segera.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner, Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa dari Kubang Semang, Bukit Mertajam, dikatakan telah menerima WhatsApp sebelum berminat dengan iklan pelaburan tersebut.

Menurutnya, mangsa telah hubungi nombor telefon diberi dan berhubung dengan seorang lelaki yang mendakwa adalah ejen syarikat terbabit yang menawarkan pelaburan cepat untung.

Iklan

"Mangsa kemudian bersetuju membuat pelaburan sebanyak RM500 sahaja tetapi telah dipengaruhi untuk menambah nilai pelaburan sehingga mencecah RM18,983.

"Mangsa dijanjikan akan mendapat pulangan tersebut dalam masa seminggu bersama modal pelaburan dan telah membuat 10 transaksi bayaran melalui mesin deposit tunai di bank kawasan Butterworth dan Mak Mandin," katanya.

Iklan

Noorzainy berkata, mangsa meminjam duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bapanya untuk membuat pelaburan berkenaan.

"Mangsa yang telah memindahkan RM18,983 ke dalam satu akaun bank tempatan, bagaimanapun masih diminta untuk buat tambahan bayaran lagi.

"Mangsa tidak setuju dan berasa tertipu dengan ejen tersebut setelah pelbagai alasan diberi apabila bertanyakan hal pulangan pelaburan," katanya.

Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

"Polis masih menjalankan siasatan bagi memperoleh maklumat akaun individu terbabit.

"Saya nasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sindiket penipuan seperti ini dan sebarang pinjaman menerusi iklan yang disiarkan dalam laman sesawang dan bagi mengelak risiko ditipu," katanya.