Lelaki kesal layanan kasar polis

Iklan
Chee Guan (dua, kanan) bersama Guo Nan (dua, kiri) pada sidang media berkenaan.

IPOH -"Inilah kali pertama saya terima layanan kasar daripada polis,” demikian luahan Ng Chee Guan, 56, yang mendakwa dia ditahan dalam satu operasi sekatan jalan raya (road block) di Jalan Batu Sinar berhampiran Jalan Universiti di Kampar baru-baru ini.

Menurut Chee Guan, ketika kejadian, dia baru sahaja selesai menghantar anaknya ke sebuah institusi pengajian tinggi di kawasan berkenaan apabila ditahan polis pada satu sekatan jalan raya.

Iklan
Iklan

Katanya, sejurus ditahan, seorang anggota polis mengatakan dirinya telah melakukan kesalahan iaitu memandu kereta ketika lampu isyarat merah.

"Saya nafikan dakwaan itu kerana yakin lampu isyarat telah berwarna hijau dan ada kenderaan yang mengikuti saya dari belakang.

Iklan

"Setelah lesen memandu saya diperiksa, seorang lagi anggota polis datang dan arahkan untuk tanda tangan saman trafik yang dikeluarkan.

"Saya tak mahu tanda tangan. Kemudian anggota polis berkenaan rampas kunci kereta dan arahkan saya keluar," katanya pada sidang media di Wisma MCA di sini hari ini.

Iklan

Tambah Chee Guan, dia kemudian memberikan kerjasama dengan keluar dari kereta, tetapi masih tidak menandatangani surat saman berkenaan.

"Anggota polis itu kemudian ambil gambar saya dan keluarkan surat saman yang kedua atas ‘kesalahan’ enggan tanda tangan notis saman berkenaan dan minta saya rujuk mahkamah.

"Saya faham dan akur undang-undang untuk bayar saman. Tapi saya persoalkan saman kedua itu dan layanan yang kurang mesra ke atas saya oleh pihak berkuasa. Saya bersedia ke mahkamah untuk kes ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak, Low Guo Nan berkata, laporan polis sudah pun dibuat di Balai Polis Sungai Senam oleh Chee Nan berhubung perkara berkenaan.

Oleh itu katanya, siasatan segera akan dijalankan dalam masa terdekat.

"Saya berharap agar perkara ini segera disiasat. Kita juga tahu tidak semua anggota polis sebegitu. Namun kita tidak mahu ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.’

"Dalam kes Chee Guan ini, kita mempersoalkan dua saman yang dikenakan kepadanya kerana walaupun polis berhak untuk keluarkan saman, tetapi orang awam juga berhak mengetahui lebih lanjut mengenai saman yang dikeluarkan kepada mereka,” katanya.