LONDON - Malaysia mencari pelaburan dalam sektor teknologi tinggi seiring dengan matlamat negara untuk menyediakan pendapatan tinggi kepada rakyat, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.
"Ini keperluan kita pada masa sekarang...rakyat Malaysia kini lebih terlatih dan negara memiliki ramai lepasan universiti, oleh itu kita tidak boleh mengharapkan mereka melaksanakan kerja manual contohnya dalam kerja-kerja pemasangan seperti yang kita buat sebelum ini.
"Kita mahu mereka menjadi jurutera yang bekerja dengan peralatan baharu, jentera baharu dan mahir dengan keperluan untuk menyenggara dan membaiki mesin yang beroperasi,” katanya semasa menyampaikan ucapan pembukaan mesyuarat meja bulat dengan komuniti perniagaan Britain anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di sini.
Wakil daripada 50 organisasi termasuk firma terkemuka seperti Thales, Jardine Matheson, HSBC Holdings Plc, BAE Systems, Shell, Standard Chartered dan Prudential selain wakil universiti terkenal Britain menghadiri acara itu.
Hadir sama pada meja bulat itu ialah Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Azman Mahmud di samping Wakil Perdagangan Perdana Menteri Britain ke Indonesia, Malaysia dan Filipina, Richard Graham.
Mesyuarat meja bulat itu merupakan antara acara dalam jadual lawatan kerja tiga hari Dr Mahathir ke United Kingdom (UK) bermula Sabtu lepas.
"Malaysia mula menerima pelaburan langsung asing dan kita memperoleh banyak teknologi asing. Pastinya pada masa kini kita giat melaksanakan teknologi maklumat dan mahu memanfaatkan perniagaan dan kaedah baharu dalam usaha memajukan negara dengan lebih pesat sebaik mungkin.
"Ya, kita adalah negara kecil dan berkembang pada kadar 11 atau 12 peratus namun kini dengan ekonomi lebih besar, pertumbuhan pada kadar yang sama akan ditunjukkan oleh peratusan lebih kecil.
"Jadi, kita masih berkembang pada kadar lebih empat peratus dan berharap dapat mencapai prestasi lebih baik tahun ini pada 4.4 peratus atau 4.6 peratus,” katanya.
Dr Mahathir turut berkata dasar Malaysia juga tidak jauh daripada dasar sebelum ini dan masih memerlukan pelaburan bagi meningkatkan pertumbuhannya.
Walaupun terdapat pelaburan domestik, beliau berkata nilainya masih terlalu kecil bagi membawa masuk teknologi yang bertujuan meningkatkan pendapatan rakyat.
Dr Mahathir berkata Malaysia selesa menjalinkan kerjasama dengan pelabur UK memandangkan bahasa Inggeris turut digunakan di Malaysia sekali gus membantu memudahkan perniagaan.
"Saya berpendapat pelabur UK akan mendapati Malaysia merupakan destinasi yang baik untuk pelaburan dan saya berharap anda dapat memaklumkan kepada kami apa yang perlu dilaksanakan dalam usaha menjadikan Malaysia lebih menarik,” katanya.
Perdana menteri juga berkata Malaysia telah menjadi negara mesra perniagaan dan bersedia memperhalusi dasarnya untuk memenuhi keperluan pelabur kerana perniagaan mewujudkan pekerjaan dan kekayaan kepada negara. - Bernama