'Janganlah sakiti hati ibu bapa Ainul'

Iklan
Paparan ‘insta story’ Dr Amalina.

LONDON -"Janganlah menyakiti hati ibu bapa Ainul, anda tidak berada di tempat mereka. Mereka mahu yang terbaik untuk anak mereka.”

Demikian nasihat Dr Amalina Che Bakri, salah seorang doktor yang terlibat dalam pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram pada mulut bayi istimewa, Ainul Mardhiah Isnin lepas.

Iklan
Iklan

Nasihat itu dimuat naik dalam ‘insta story’ doktor tersebut dan ia dipercayai berkaitan tuduhan mendakwa ibu bapa Ainul Mardhiah hanya mengikut ‘nafsu’ apabila membawa bayi itu ke London untuk menjalani pembedahan.

Menurut Dr Amalina, usah dipersoalkan di mana Ainul Mardhiah menjalani pembedahan kerana sudah tertulis rezeki bayi tersebut mendapat rawatan di United Kingdom (UK).

Iklan

"Sudah tertulis rezeki Ainul untuk mendapat rawatan di UK, jangan pula dipersoalkan di mana, yang penting pembedahan sudah berjaya.

"Marilah kita doakan sahaja kesejahteraan mereka dan semua doktor di dunia ini yang banyak berkorban untuk membantu orang yang berada di dalam kesusahan,” tulis beliau.

Iklan

Dr Amalina turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua doktor yang telah merawat Ainul Mardhiah sama ada di Malaysia atau di UK.

"Janganlah dibanding-bandingkan usaha mana-mana doktor.

"Kami sebagai doktor akan membantu sesiapa sahaja jika mampu tidak kira di mana kami berada, tidak ada kena-mengena dengan isu peribadi dan sebagainya,” katanya.

Semalam, bapa bayi tersebut, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, berkata keputusan melakukan pembedahan anak sulungnya itu di London bukan perkara mudah.

Tegasnya, mereka perlu berhadapan dengan pelbagai risiko besar dan ia bukannya untuk kepentingan diri tetapi demi masa depan bayinya.

"Selain pembedahan yang terlalu berisiko, untuk membawa Ainul ke sini juga adalah salah satu risiko yang besar perlu untuk Ainul tempuhi.

"Jadi, jika kami dikatakan membuat keputusan untuk ke sini kerana mengikut hawa nafsu kami, maka tuduhan itu adalah tidak berasas kerana untuk membawa Ainul ke sini pun satu risiko yang besar buat dirinya,” katanya menerusi laman Facebooknya.