KUALA LUMPUR - Malaysia tersenarai dalam 10 pasaran pelancongan kesejahteraan terulung di Asia Pasifik dengan mencatatkan trend pertumbuhan positif di masa depan, kata Presiden Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Datuk Tan Kok Liang.
"Pelancongan kesejahteraan adalah sektor pelancongan yang berkembang pantas di seluruh dunia dan Malaysia tersenarai dalam 10 pasaran pelancongan kesejahteraan terulung di Asia Pasifik dengan perbelanjaan berjumlah RM20.5 bilion dan 8.3 juta perjalanan, serta memperlihatkan trend berkembang bagi percutian dan pakej kesejahteraan terutamanya ke negara kita,” katanya.
Ke arah mempertingkatkan promosi sektor berkenaan, MATTA dan Persatuan Spa Malaysia (AMSPA) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk memperkukuhkan pelancongan kesejahteraan.
Beliau berkata MoU itu dijangka menyerlahkan potensi sektor pelancongan dan kekal kompetitif dalam pasaran global, sekali gus menjadikan sektor pelancongan kesejahteraan Malaysia setara dengan destinasi kesejahteraan terkenal lain di Asia.
"Kerjasama ini turut menegaskan komitmen kedua-dua persatuan untuk mempromosi produk pelancongan domestik dan menarik kedatangan lebih ramai pelancong untuk melawat Malaysia,” katanya, dan menambah, MATTA akan turut menggalakkan pelancongan kesejahteraan dalam pameran MATTA akan datang pada September 2019.
MoU itu memperjelaskan aturan berkaitan program dan aktiviti promosi menuju ke arah Tahun Melawat Malaysia 2020, pertukaran maklumat, kerjasama dalam bina upaya selain kemajuan dalam bidang pelancongan kesejahteraan, katanya.
Pada majlis menandatangani MOU itu, MATTA diwakili Tan manakala AMSPA diwakili presidennya, Datin Jeanette Tambakau, dengan disaksikan Pengerusi Tourism Malaysia Datuk Ahmad Shah Hussein Tambakau.
Sementara itu, Jeanette berkata industri kesejahteraan dan spa Malaysia berpotensi untuk menjadi penyumbang hasil bagi sektor pelancongan. -Bernama