10 cedera kemalangan babitkan 14 kenderaan

Iklan
Antara kenderaan yang terbabit dalam kemalangan membabitkan 14 kenderaan lewat malam tadi. - Foto FB Malaysian Response Team II

SUNGAI BULOH - Empat kanak-kanak antara 10 penumpang kenderaan yang cedera dalam kemalangan melibatkan 14 kenderaan di Kilometer 457.8, Lebuhraya NKVE dari Sungai Buloh menghala Jalan Duta, lewat malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 11.45 malam itu, dua kenderaan pasukan keselamatan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut remuk dan mengalami kerosakan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 12.25 tengah malam tadi.

Menurutnya, kemalangan berlaku di laluan enam lorong termasuk lorong kecemasan ketika keadaan trafik sesak.

Iklan

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan bermula dengan lori membawa muatan sayur dari Cameron Highlands menuju ke Johor yang terbabas sebelum berlanggar dengan kenderaan lain.

"Laluan lebuh raya ditutup di bahagian hadapan kerana terdapat kerja-kerja pembaikan jalan dan semua kenderaan bergerak perlahan.

Iklan

"Pemandu lori sayur yang memandu di lorong ketiga jalan dari sebelah kanan hilang kawalan dan brek secara tiba-tiba kerana terdapat sebuah kereta berhenti secara mengejut di depannya ketika di selekoh jalan.

"Lori terbabit terbabas ke lorong kedua jalan dan terus melanggar kenderaan yang ada di lorong tersebut," katanya.

Beliau berkata, selepas kemalangan berlaku, lori terbabit terbalik ke kiri jalan dan berlanggar dengan sebuah lori menyebabkan semua sayuran terbalik di atas jalan raya.

Tambahnya, tiada mangsa yang cedera parah dalam kejadian itu.

Semua mangsa cedera dibawa oleh ambulans ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Enam mangsa sudah dibenarkan keluar hospital manakala selebihnya masih berada di Zon Kuning untuk rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, pemandu lori berusia 36 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut dan polis mengesan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kemalangan

Siasatan diteruskan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.