LONDON - Bayi lapan bulan Ainul Mardhiah yang selamat menjalani pembedahan bagi membuang Tumor Sel Kuman kanser pada mulutnya minggu lepas, hari ini menerima kunjungan pelawat istimewa, pemimpin nombor satu negara Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ibu bapanya, pasangan Ahmad Safiuddin Ahmad Razak dan Nurul Erwani, kedua-duanya 24 tahun, jelas cukup teruja menerima kunjungan Dr Mahathir, di penghujung lawatan kerja tiga hari Perdana Menteri ke United Kingdom (UK).
Ainul Mardhiah telah menunjukkan tanda-tanda positif selepas menjalani pembedahan di Hospital Kanak-kanak di sini Isnin lepas, dan menurut bapanya, bayi itu kini sudah boleh bernafas dengan sendiri tanpa bantuan alat pernafasan.
Bayi yang dilahirkan selepas hanya tujuh bulan dalam kandungan, disahkan mengidap kanser yang jarang berlaku itu sejurus selepas dilahirkan, dan walaupun pertumbuhan kanser itu pada mulanya sudah dibuang di Hospital Kuala Lumpur, namun tanda-tanda gejalanya tetap muncul kembali, kali ini di bahagian mulutnya.
Dr Mahathir semasa ditemui media Malaysia selepas melawat bayi itu berkata ”saya terharu dengan bayi ini. Bagaimanapun, saya gembira dengan sikap yang ditunjukkan rakyat Malaysia sehingga membolehkan Ainul Mardiah mendapatkan rawatan di sini”.
Ahmad Safiuddin berkata walaupun dilahirkan dengan penyakit itu, anaknya sama seperti anak-anak lain memiliki semangat kental untuk terus hidup.
Ainul Mardhiah dan ibu bapanya tiba di sini untuk pembedahan di hospital swasta berkenaan pada 24 Mei, yang menyaksikan sekumpulan pakar bedah berjaya membuang tumor seberat 200g yang menutupi seluruh mulutnya, dalam pembedahan yang mengambil masa selama kira-kira lima jam.
Pembedahan yang melibatkan belanja tinggi serta rumit itu dapat dilaksanakan dengan bantuan orang ramai yang bermurah hati menghulur bantuan, di samping bantuan pelatih pakar bedah Dr Nur Amalina Che Bakri yang berusaha mendapatkan bantuan kenalannya dari kalangan pakar perubatan di UK, bagi mencari cara terbaik dalam merawat penyakit bayi itu.
Jumlah kos pembedahan itu dianggar boleh mencecah lebih RM1 juta, dan difahamkan selain orang ramai, kerajaan negeri Melaka, Jabatan Imigresen Malaysia serta Penerbangan Malaysia turut sama menghulurkan bantuan bagi menjayakan pembedahan itu.
Ahmad Safiuddin mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia terhadap sokongan mantap kepada anaknya, Ainul Mardhiah.
Lawatan ke hospital itu adalah acara terakhir dalam lawatan kerja Dr Mahathir ke UK. - Bernama