PENDANG - Rasa rindu bersarang dihati antara satu sama lain membuatkan alumni Sinar Harian Utara mengadakan pertemuan sempena Aidilfitri baru-baru ini.
Penganjur, Ku Noor Faizah Ku Mustafa berkata dia dan suaminya, Hafiz Shaufit Affandi yang juga bekas wartawan Sinar Harian Utara menjemput rakan-rakan ke rumah mereka.
Katanya, mereka berdua sangat berharap pertemuan itu mampu mengeratkan semula silaturahim yang pernah terjalin.
"Selepas buat keputusan untuk adakan pertemuan tu, suami wujudkan Goup WhatsApp dan cuba menghubungi semua rakan-rakan lama.
"Alhamdulillah dengan bantuan rakan-rakan, hampir kesemuanya dapat diundang ke majlis pertemuan ini," katanya.
Menurut Faizah, sikap mereka berdua yang mudah mesra dan rapat dengan semua bekas wartawan Sinar Harian Utara ketika bekerja membuatkan rakan-rakan tidak kekok untuk datang memenuhi undangan.
Majlis pertemuan itu juga turut dihadiri oleh bekas ketua wartawan, Anuar Omar yang pernah bertugas selama tiga tahun sejak 2008 hingga 2011.
Anuar berkata, pertemuan seperti ini sangat baik dan perlu diteruskan kerana ia mampu menggamit perasaan gembira dan mengimbau nostalgia lama.
"Saya harap, program seperti ini dapat diadakan lagi dan lebih ramai dapat hadir supaya ia nya akan menjadi lebih meriah dan seronok," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Wartawan Sinar Harian Utara, Roslinda Hashim berkata, pertemuan seperti ini sangat baik sekiranya dijadikan sebagai acara tahunan.
Katanya, program sebegini bukan sahaja dapat mengeratkan kembali silaturahim yang pernah terjalin tetapi turut dapat mengekalkan hubungan baik antara majikan dan bekas kakitangan.
"Terima kasih kepada semua bekas wartawan yang hadir dan insya-ALLAH kita akan adakan lagi program sebegini pada masa akan datang," katanya.