Polis cekup tokan dadah warga Myanmar

Iklan
Nor Azmi (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barangan dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam di sini hari ini.

SABAK BERNAM - Seorang tokan dadah warga Myanmar dicekup selepas polis merampas dadah jenis heroin seberat 375.81 gram bernilai RM11, 274.30, di Bagan Teluk Rhu, Sungai Air Tawar, pada 15 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, suspek berusia 45 tahun itu ditahan dalam serbuan polis diketuai Inspektor Norizan Ramli pada jam 3.30 petang.

Iklan
Iklan

"Bagaimanapun, tindakan suspek yang cuba meloloskan diri selepas menyedari kehadiran polis gagal," katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, di sini hari ini.

Nor Azmi berkata, suspek dipercayai aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sekitar Sungai Air Tawar sejak enam bulan lalu.

Iklan

"Kegiatan suspek terbongkar selepas polis menjalankan risikan dan maklumat awam melakukan serbuan di port penagihan terbabit," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan dalam beg milik suspek menemukan enam paket plastik lut sinar besar dan 11 paket plastik lut sinar kecil mengandungi dadah heroin.

Iklan

Beliau berkata, semakan mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah.

"Suspek ditahan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.