GEORGETOWN - Sebuah bot nelayan tempatan jenis lampu ditahan oleh bot peronda milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang pada jam 4.35 petang kelmarin.
Pengarahnya, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, bot itu ditahan pada jarak kira-kira 0.8 batu nautika dari Barat Daya Pulau Rimau di sini.
Menurutnya, bot peronda APMM Pulau Pinang sedang melakukan rutin rondaan di sekitar perairan negeri ini lalu ternampak sebuah bot jenis lampu dalam keadaan mencurigakan.
"Selepas melakukan pemeriksaan ke atas bot itu, kita menahan seorang tekong warga Thailand berusia 35 tahun. Turut bersamanya, seorang kru warga Kemboja berusia 49 tahun.
"Mereka dipercayai melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu gagal mempamerkan lesen yang sah dan disyaki beroperasi dengan lesen telah tamat tempoh," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, bot dan kedua-dua nelayan warga asing itu dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban untuk siasatan dan tindakan lanjut.
"Kita akan terus mempergiatkan pemantauan dan rondaan dalam membanteras sepenuhnya aktiviti yang menyalahi undang-undang jenayah di perairan Pulau Pinang.
"Orang awam diminta agar bekerjasama dalam melaporkan sebarang kejadian jenayah, kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146," katanya.