Nak cari durian tapi dituduh penculik

Iklan
Anbalagan

BALIK PULAU - Polis menafikan berlaku kes cubaan penculikan di Balik Pulau seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, kes tersebut tidak berlaku di kawasan tersebut seperti yang diperkatakan sebaliknya ia hanya berpunca daripada salah faham.

Iklan
Iklan

Beliau turut mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut namun siasatan mendapati, kejadian itu tidak berlaku.

"Kita ada terima laporan namun siasatan mendapati kejadian itu tidak berlaku. Isu cubaan penculikan di Balik Pulau yang ditularkan dalam Facebook adalah berpunca daripada salah faham.

Iklan

"Dalam kejadian pada jam 2.50 petang semalam, seorang nelayan membuat laporan selepas ternampak anaknya yang sedang berbasikal ditahan sebuah kereta," katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, lelaki berusia 38 tahun itu sedang dalam perjalanan hendak menghantar anak keduanya ke Sekolah Agama di Jalan Pantai Acheh sebelum ternampak sebuah kereta menahan anak sulungnya yang sedang berbasikal untuk ke sekolah agama.

Iklan

"Kejadian berlaku di Jalan Sungai Pinang berhampiran Sekolah Rendah Sungai Pinang di sini. Dia ternampak pemandu dan penumpang kereta tersebut bertanya sesuatu kepada anak sulungnya itu.

"Lelaki yang bimbang, terus mengarahkan anak sulungnya ke sekolah dan cuba menghampiri kereta berkenaan tetapi pemandunya terus meninggalkan tempat tersebut. Dia cuba mengekori kenderaan berkenaan dan cuba menahannya tetapi tidak berjaya," katanya.

Anbalagan berkata, pada jam 6.20 petang hari sama, pemandu kereta berkenaan membuat laporan polis selepas kenderaannya tular dalam media sosial yang mendakwa dia sebagai penculik.

"Pemandu kereta berkenaan telah diberitahu oleh adik perempuannya berhubung gambar kereta dan wajahnya tersebar sebagai suspek penculikan kanak-kanak di Facebook. Dia yang terkejut dengan perkara itu, terus membuat laporan polis bagi menafikan perkara tersebut.

"Lelaki itu mengakui, dia bersama isterinya ada menahan seorang pelajar sekolah untuk bertanyakan mengenai dusun durian (Khunpoh). Selepas mendapati pelajar itu seakan-akan keliru, dia dan isterinya meninggalkan tempat itut," katanya.

Menurutnya, semakan mendapati pemilik kereta dan isterinya tiada rekod jenayah lampau dan kes itu kini selesai.