2018 musim bermakna arena sukan permotoran negara

Iklan
Hafizh Syahrin Abdullah
MUSIM 2018 menjadi tahun yang bermakna buat pelumba muda kebanggaan negara, Hafizh Syahrin Abdullah apabila melakar sejarah muncul pelumba Malaysia pertama menyertai kejuaraan cc untuk musim penuh tahun ini.

Anak jati Selangor itu mengharumkan nama Malaysia apabila penampilan musim pertamanya bersama pasukan Monster Yamaha Tech3 terlalu hampir untuk muncul sebagai pelumba rookie terbaik keseluruhan musim ini selepas perlumbaan terakhir pada Grand Prix Valencia, November lepas.

Namun, Hafizh terpaksa berpuas hati dengan kedudukan kedua, empat mata di belakang pelumba EG 0,0 Marc VDS, Franco Morbidelli bagi kedudukan rookie terbaik keseluruhan.

Menyertai pasukan Monster Yamaha Tech3 pada saat akhir untuk menggantikan Jonas Folger pada awal musim, Hafizh tidak dijangka mampu memberikan persembahan terbaik berbanding pelumba baharu termasuk juara dunia Moto2 2017, Morbidelli; naib juara Moto 2017, Thomas Luthi (Switzerland); dan Takaaki Nakagami (Jepun).

Beliau berjaya menamatkan saingan di tempat ke-10 terbaik ketika di Litar Termas de Rio Hondo (Argentina), Motegi (Jepun), Sepang (Malaysia) dan Valencia (Sepanyol), untuk menamatkan perlumbaan di tempat ke-16 keseluruhan dengan mengumpul 46 mata.

Bagi musim 2019, Hafizh akan kekal bersama pasukannya Tech3 yang akan dikenali sebagai Red Bull KTM Tech3, namun, bakal beralih daripada jentera Yamaha kepada KTM dan akan bergandingan bersama pelumba dari Portugal, Miguel Oliveira.

Pelumba negara yang beraksi dalam kelas Moto2, Khairul Idham Pawi yang mewakili Idemitsu Honda Team Asia pula mengalami sedikit penurunan prestasi selepas menduduki tempat ke-30 keseluruhan dengan mengumpul satu mata manakala pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin pula sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-21 keseluruhan dengan mengumpul 46 mata.

Kemunculan tiga pelumba negara dalam ketiga-tiga kelas Kejuaraan Motosikal Dunia musim ini telah menarik minat kehadiran jumlah penonton yang di luar jangkaan Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Kehadiran penonton melepasi sasaran awal pada hari perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia iaitu mencecah angka 103,984 pada hari perlumbaan sahaja dan itu meyakinkan pihak promoter sukan permotoran negara, Sepang International Circuit Sdn Bhd untuk mengekalkannya pada edisi yang akan datang.

Kehadiran penonton pada hari perlumbaan (Ahad) itu mengatasi rekod penganjuran sebelum ini iaitu 97,457 orang pada tahun lepas dan 95,316 orang pada tahun 2016.

Selepas menyaksikan pelumba negara beraksi dalam perlumbaan MotoGP tahun ini, Malaysia bakal mencipta sejarah menerusi penglibatan secara langsung sebagai pasukan bertanding dengan pengumuman yang dibuat Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pada sidang media di Grand Prix British, Ogos lepas.

SIC akan menyertai kelas premier MotoGP bersama syarikat minyak dan gas multinasional Petronas sebagai Rakan Penaja rasmi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali mengumumkan slot pelumba bagi pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing, diisi Morbidelli dan Fabio Quartararo.

Petronas akan bergandingan bersama SIC dengan penyertaan pasukan bermula dari tahun hadapan sehingga 2021, menggunakan jentera Yamaha, YZR-M1.

Menerusi persefahaman itu, Petronas mampu memanfaatkan pentas Kejuaraan Motosikal Dunia ini bagi memajukan lagi teknologi pelincir motosikal seperti mana yang dilakukan dalam perlumbaan Formula Satu (F1).

Dalam pada itu, syarikat swasta turut memainkan peranan dalam memacu pembangunan arena permotoran negara dengan penglibatan pasukan Mercedes AMG Petronas yang berjaya mengesahkan kejuaraan pengeluar dan pemandu untuk kali kelima berturut-turut musim ini dalam perlumbaan F1.

Pasukan itu sudah memenangi kejuaraan berganda untuk kali kelima berturut-turut musim ini sejak 2014, sekali gus menyamai rekod Ferrari yang melakukannya pada 2000 hingga 2004.

Tidak ketinggalan, prestasi tiga pelumba negara, Jazeman Jaafar, Nabil Jeffri dan Weiron Tan menaiki podium buat julung kalinya selepas mendapat tempat kedua dalam perlumbaan"6 Hours of Silverstone” Kelas Prototaip Le Mans 2 (LMP2) di Litar Silverstone, United Kingdom, pada Ogos lepas, jelas membuka mata banyak pihak.

Terdahulu, trio di bawah Program Pembangunan Pelumba SIC itu mempamerkan kebangkitan selepas dipalit isu kepanasan enjin melampau, yang berpotensi merosakkan keseluruhan perlumbaan sebelum mengakhiri saingan di kedudukan ke-10 keseluruhan dan keenam dalam kelas LMP2 dalam perlumbaan berprestij 24 Jam Le Mans di Perancis, Jun lalu.

Pastinya, dengan pencapaian membanggakan pelumba-pelumba negara dalam arena permotoran pada 2018, bakal merancakkan lagi dan memberikan debaran buat semua peminat sukan berkenaan pada musim hadapan. - Bernama