Kurang maklumat punca siasatan tak berkembang

Iklan

PUTRAJAYA - Pegawai penyiasat dalam kes penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis mengakui kekurangan maklumat menjadi antara punca siasatan tidak dapat dikembangkan.

Superintendan Woon Tan Seng berkata, ia antara lain disebabkan oleh faktor mangsa atau saksi enggan tampil membantu siasatan kerana bimbangkan soal keselamatan disebabkan tidak tahu mereka dilidungi di bawah Akta Perlindungan Saksi.

Iklan
Iklan

Saksi ke-48 itu juga tidak menafikan wujud kekurangan persefahaman antara agensi keselamatan dalam perkara-perkara tertentu seperti pertukaran maklumat yang menyumbang kelemahan dalam proses siasatan yang dijalankan.

"Dalam kes ini, kita tidak boleh kembangkan siasatan kerana tidak dapat maklumat yang mencukupi...itu kelemahan yang ada,” katanya pada prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian.

Iklan

"Mungkin saksi yang ada telah pun memiliki kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) atau telah bekerja, jadi mereka bimbang tentang aspek keselamatan untuk membantu siasatan," katanya.

Penolong Pengarah Analisa/Perangkaan Jenayah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman itu merupakan saksi tunggal pada hari ke-17, sesi terakhir RCI yang berlangsung di hadapan tujuh panel diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

Iklan

Ditanya apakah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 cukup untuk menangani isu tersebut daripada berulang, Woon berkata ia merupakan akta yang cukup komprehensif bagi mendepani kes berkaitan penyeludupan dan pemerdagangan orang.

Beliau berkata Atipsom adalah akta unik yang mana pembacaan sahaja tidak mencukupi untuk memahaminya berbanding mereka yang pernah mengendalikan kes berkenaan.

Atas sebab itu, katanya pihak atasan sentiasa mengadakan kursus berkala kepada semua anggota dari unit berkaitan termasuk kepada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Pada saya akta itu sudah baik dan mencukupi, cuma kita perlu tambahkan kekuatan anggota di sempadan, tingkatkan aktiviti rondaan selain menggunakan alatan pengawasan terkini seperti dron bagi kawalan di kawasan hutan tebal yang sukar dimasuki," katanya.

Kepada soalan Arifin mengenai dapatan siasatan terhadap sebab kematian 106 pendatang asing di kem penempatan tersebut, Woon berkata kematian bukan disebabkan didera.

Beliau berpendapat kematian mereka disebabkan oleh sakit, satu perkara lazim yang boleh terjadi di dalam hutan, apatah lagi di dalam kem yang sebegitu rupa selain hanya diberi makan sehari sekali.

"Memang ada saksi mengaku mereka dirotan selain terdapat kesan lebam dan balutan, namun kecederaan itu bagi saya tidak menjadi penyebab kepada kematian," katanya dan menambah punca kematian juga tidak dapat dirungkai melalui bedah siasat yang dijalankan pakar patologi hospital kerajaan. - Bernama