Penjaja mengaku hina Nabi Muhammmad SAW

Iklan
Chow Mun Fai

KUALA LUMPUR - Seorang penjaja mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam menerusi hantaran di media sosial.

Tertuduh Chow Mun Fai, 43, menukar pengakuan kepada bersalah ke atas kesemua pertuduhan yang dihadapi semasa sebutan semula kesnya di hadapan Hakim M.M. Edwin Paramjothy.

Iklan
Iklan

Mahkamah menetapkan 3 Julai bagi mendengar hujahan berhubung hukuman berjalan serentak atau berasingan.

Terdahulu, peguam P. Rajsurian yang mewakili tertuduh merayu hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh anak guamnya ditangkap manakala Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md Kamal pula memohon hukuman berat serta hukuman penjara berasingan mengambil kira kesalahan serius yang dilakukan tertuduh.

Iklan

"Tertuduh melakukan kesalahan serius dengan menggunakan ayat-ayat yang terlalu kasar serta kesat dan secara terang-terangan menghina agama dan kaum lain. Ayat-ayat yang digunakan berbentuk provokasi secara total ini telah ditujukan secara khusus dan spesifik kepada umat Islam dan kaum Melayu,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Chow didakwa menggunakan aplikasi Twitter dengan akaun profil 'Alvin@Alvin15358333', membuat kenyataan yang mungkin mengapi-apikan kaum Melayu dengan bukan Melayu, pada 8.07 pagi, 13 Februari lepas mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Iklan

Dia turut didakwa atas tiga pertuduhan memuat naik hantaran yang mungkin menyebabkan suasana tidak harmoni di antara penganut Islam dan bukan Islam di laman media sosial yang sama pada jam 2.29 petang dan 7.06 petang, 2 Mac dan 13 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Dia juga menghadapi empat lagi pertuduhan iaitu secara sedar menggunakan profil Twitter sama telah membuat penghantaran komunikasi bersifat jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada masa dan tempat yang sama.

Bagi pertuduhan-pertuduhan tersebut, dia didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Semua hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ, di sini, pada jam 8.30 malam, 3 Mac lepas. - Bernama