SELEPAS menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatan secara sukarela semalam, akhirnya Bibi Ramjani Ilias Khan mengumumkan keputusan peletakan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) hari ini.
Bibi dipetik satu kiriman di laman sosial Facebook miliknya mengumumkan perkara itu dan memberi laluan kepada Kongres Agung Luar Biasa (EGM) persatuan tersebut untuk memilih peneraju baharu.
"Semoga Kafa maju jaya di bawah pengurusan baru. Terima kasih kepada semua penyokong yang tidak pernah putus untuk menyokong Kelantan FA. Mohon maaf daripada saya kepada semua sepanjang saya memimpin Kafa,” katanya.
Sebelum ini, Bibi dikatakan sedang menunggu calon presiden baharu yang akan diangkat oleh beberapa Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) untuk menggantinya.
Beliau juga membayangkan akan melepaskan jawatan yang pernah disandang Tan Sri Annuar Musa itu apabila sudah mempunyai pengganti memandangkan kini tanggungjawab menguruskan kewangan berada di atas bahunya seorang.
Seorang tokoh politik juga dibayangkan akan mencuba nasib untuk berada di kerusi Bibi selepas ini dan ia dikatakan antara nama yang telah disenarai pendek oleh PBJ.
Bibi mula memegang jawatan tersebut pada 17 September 2017 sekali gus menjadi presiden wanita pertama menjaga Kafa untuk penggal 2018 hingga 2021.
Bibi berdepan pelbagai cabaran untuk mengemudi pasukan terutamanya apabila TRW terpalit dengan pelbagai isu masalah kewangan melibatkan pengurusan dan pemain.