Kastam Kedah wujudkan empat giliran

Iklan
Dari kanan: Paddy dan Johari ketika singgah di gerai makanan Jabatan Kastam Sungai Petani dan bergambar bersama kakitangannya.

ALOR SETAR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah mewujudkan empat giliran untuk mengawasi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam selepas dilanjutkan operasi sehingga 24 jam mulai hari ini.

Pengarah Kastam Kedah, Datuk Johari Alifiah berkata, setiap giliran melibatkan tempoh lapan jam dan anggota akan bergilir-gilir membuat pemantauan dan pemeriksaan dalam tempoh tiga bulan percubaan ini.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan jumlah sebenar kekuatan anggota kerana operasi 24 jam tersebut baru sahaja bermula pagi semalam.

"Kami menasihatkan kepada semua pihak bahawa proses larangan ini tidak berkecuali termasuk pemborong, ejen dan sesiapa sahaja yang membawa barangan mesti membuat pengikraran yang betul," katanya kepada sidang akhbar selepas ditemui pada Majlis Hari Raya Kastam Kedah di Taman Tunku Yaakob di sini hari ini.

Iklan

Johari berkata, pihaknya sedaya upaya memastikan perancangan untuk menempatkan anggota di kawasan operasi tersebut berjalan lancar.

"Berkenaan bilangan pegawai yang akan diletakkan di situ juga sedang kita perhalusi. Kita perlu tengok dulu, jika perlu penambahan kita akan tambah dan jika perlu pengurangan perkara tersebut bergantung kepada keadaan. Saya tidak dapat mengulas lanjut berhubung perkara tersebut kerana baru sangat dan tidak sampai tempoh 24 jam ICQS dibuka," katanya.

Iklan
Paddy memukul gong sebagai gimik semasa melawat setiap gerai rumah terbuka Kastam Kedah. Turut bersama Johari (empat dari kanan).

Menurutnya, secara umumnya pihaknya memerlukan kemahiran dan kebertanggungjawaban anggota untuk melaksanakan setiap tugas semasa berada di kompleks tersebut.

"Kita juga mahu melihat seperti apa yang diuar-uarkan adakah (operasi 24 jam ini) mampu mengelakkan kesesakan pada waktu siang terutamanya pada waktu puncak.

"Kastam Kedah kini sedang mengumpul data terlebih dahulu dan akan melaporkan setiap perkembangan semasa kepada Ketua Pengarah Kastam, Datuk Paddy Abd Halim dari hari ke hari," katanya.

Hadir sama pada majlis tersebut adalah Paddy dan dijangka lebih kurang 800 hadir memeriahkan rumah terbuka Kastam Kedah.

Pagi semalam, sejarah baharu tercipta antara Malaysia dan Thailand apabila pintu sempadan di ICQS di sini dilanjutkan operasi sehingga 24 jam.