MELAKA TENGAH - Seramai lapan beradik yang hidup dalam keadaan daif dan tidak terurus di sebuah pondok usang di Pulau Besar di sini diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dalam satu operasi bersepadu yang disertai pelbagai agensi di Pulau Besar di sini, semalam.
Kanak-kanak berkenaan berusia antara enam bulan hingga 16 tahun itu dikatakan tinggal di bawah jagaan bapa mereka selepas ibunya berusia 36 tahun dimasukkan ke pusat serenti kerana penyalahgunaan dadah pada Febuari lalu.
Bagaimanapun, kehidupan kanak-kanak itu dikatakan terbiar serta terabai, malah bayi berusia enam bulan juga kehabisan susu dan hanya dijaga abangnya.
Pengarah JKM negeri, Burhanuddin Bachik berkata, kesemua lapan beradik itu termasuk tiga perempuan sebenarnya berada di bawah jagaan bapanya berusia 42 tahun, bagaimanapun ketika operasi dilakukan lelaki berkenaan didapati bertindak melarikan diri.
Beliau berkata, sebaik diselamatkan, kesemua mereka dibawa ke Hospital Melaka untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
"Dua beradik berusia 13 dan 16 tahun akan ditempatkan di Rumah Budak Lelaki Durian Daun, manakala tiga lagi yang berusia enam, sembilan dan 12 tahun di Rumah Kanak-Kanak (RKK) Kuantan, Pahang.
"Tiga beradik lagi berumur tiga dan satu tahun serta enam bulan akan ditempatkan di RKK Mini, Ulu Tiram, Johor. Mereka semua ditempatkan sementara mengikut Seksyen 25 Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.
Selain JKM dan polis, turut menyertai operasi yang bermula jam 8.15 pagi itu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Pejabat Daerah Melaka Tengah.
Difahamkan juga, operasi berkenaan adalah yang kedua dijalankan secara besar-besaran dalam tahun ini, selepas kali terakhir pada Februari lalu.
Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri, Mohd Nasrom Yusof berkata, pemeriksaan dokumentasi mendapati tiada pendaftaran dilakukan bapa kanak-kanak untuk tiga anaknya berusia tiga dan dua tahun serta enam bulan.
"Hari ini emaknya dibawa ke JPN dari pusat serenti bagi proses dokumentasi untuk dikeluarkan sijil lahir kepada ketiga-tiga anaknya," katanya.