Polis tak tolak kemungkinan akan panggil ahli PKR

Iklan
Mazlan (dua dari kanan) Majlis Penyerahan Kenderaan Sumbangan MRCB kepada PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM - Polis tidak menolak kemungkinan akan memanggil mana-mana individu termasuk ahli PKR bagi membantu siasatan berhubung penyebaran rakaman video intim yang dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, siasatan masih dijalankan dan pihaknya tidak mahu mendedahkan apa sahaja berkenaan siasatan ini.

Iklan
Iklan

"Cara mana kita siasat itu tidak boleh didedahkan. Apa yang boleh saya katakan, siasatan masih berjalan.

"Siapa sahaja yang kita rasakan akan dipanggil untuk rakam percakapan, kita akan panggil. Bukan sahaja dari ahli PKR, tapi sesiapa juga yang boleh bantu dalam siasatan.

Iklan

"Siasatan ini tiada tempoh masa, biar kita perhalusi sepenuhnya untuk kita selesaikan secepat mungkin," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Sumbangan Oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) Kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.

Majlis itu menyaksikan MRCB bermurah hati menyumbangkan empat buah kenderaan model Isuzu D-Max 2.5L dan 20 buah motosikal Honda CBR250 yang kesemuanya bernilai RM892,000.

Iklan

Dalam pada itu, Mazlan turut mengesahkan pihaknya telah merekod keterangan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, semalam.

Bagaimanapun, lokasi dan masa keterangan itu diambil tidak didedahkan.

Ketika ditanya adakah pihaknya berpuas hati dengan keterangan yang diambil itu, Mazlan berkata, ia bergantung kepada siasatan.

"Kita akan teliti terlebih dahulu sama ada hendak merakam keterangannya lagi atau sebaliknya.

Hari ini, Peguam, N Surendran mengesahkan Azmin telah memberikan keterangan kepada polis.