Jadikan tragedi Kuala Koh pengajaran: Waytha Moorthy

Iklan
Waytha Moorthy (dua dari kanan) bersama Ahmad Faizal pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin bersama Masyarakat Orang Asli DUN Chenderiang, hari ini.

TAPAH - Tragedi yang melanda orang asli suku Bateq di Kuala Koh, Gua Musang perlu dijadikan pengajaran supaya kepentingan liputan imunisasi dalam kalangan komuniti itu meluas di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy berkata, ia juga sebagai satu aspek kesihatan diri yang perlu diberi penekanan serius kerajaan selain keperluan pendidikan dan kemudahan infrastruktur.

Iklan
Iklan

"Kita akui kesedaran kalangan masyarakat orang asli terhadap imunisasi masih kurang menyebabkan peratus penduduk yang mengambil suntikan adalah rendah.

"Seperti di Kuala Koh, daripada angka yang diterima kurang daripada 70 peratus penduduk orang asli di sana mengambil suntikan, namun 30 peratus daripadanya meneruskan suntikan dos kedua. Ini sesuatu yang tidak patut berlaku dalam keadaan zaman moden sekarang," katanya di sini hari ini.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Orang asli Bateq akan diberi vaksin campak bermula minggu ini

Menurutnya, kerajaan akan mengambil usaha berterusan bersama agensi kerajaan lain terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendampingi masyarakat orang asli bagi meyakinkan mereka bahawa imunisasi itu sesuatu yang baik.

Iklan

"Setelah apa yang melanda Kuala Koh, saya berharap masyarakat orang asli mengambil lebih perhatian terhadap kesihatan mereka dan jadikan ia satu pengajaran untuk semua.

"Imunisasi adalah satu keperluan di zaman sekarang supaya mereka dapat meningkatkan tahap antibodi daripada dijangkiti," katanya.

KKM sebelum ini mengesahkan wabak yang berlaku dalam komuniti orang asli di Kuala Koh termasuk membabitkan kematian disebabkan demam campak.

ARTIKEL BERKAITAN: KKM sahkan suku Bateq dijangkiti demam campak

Ia berdasarkan keputusan ujian makmal yang mengesahkan 37 daripada 112 kes membabitkan komuniti orang asli itu disebabkan wabak berkenaan.

Dalam pada itu, Waytha Moorthy berkata, sikap penduduk di situ yang tidak mahu menerima suntikan dan tidak mempunyai pengetahuan yang cukup mengenai imunisasi antara punca perkara itu terjadi.

"Cara hidup suku kaum itu yang suka berpindah randah juga menyebabkan masyarakat di situ sukar didekati oleh pegawai dan kakitangan Jabatan Kesihatan.

"Setiap kali pegawai kesihatan pergi ke kawasan, mereka sudah tidak ada, berpindah ke kawasan lebih dalam. Jadi agak susah," katanya.

Terdahulu, beliau ditemui pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin bersama Masyarakat Orang Asli DUN Chenderiang yang turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Dewan Terbuka Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) daerah Batang Padang/Mualim.