KEJAYAAN berganda diraih pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad di Kejohanan Dunia di Hertogenbosch, Belanda, sangat bermakna buat dirinya.
Sebelum meraih pingat perak, Khairul Anuar terlebih dahulu meraih satu daripada empat tiket, ke pentas Olimpik Tokyo 2020 selepas mara ke pusingan separuh akhir.
Malah kejayaan meraih pingat perak itu juga menjadi kejayaan bermakna, apabila berjaya memenuhi hasrat arwah bapanya yang mahu melihat beliau meraih pingat di Kejohanan Dunia.
"Sebelum arwah ayah meninggal, memang dia ada pesan kalau boleh memang hendak emas di Kejohanan Dunia dan juga Olimpik.
"Saya usaha langkah demi langkah ke arah itu. Saya bertahan walaupun ada mengalami kecederaan, demi rasa sayang saya pada sukan memanah ini.
"Pesan arwah ayah juga, supaya saya tidak mudah putus asa jika mengalami kekalahan. Kemenangan ini juga salah satu daripada hasrat arwah untuk lihat saya berjaya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di KLIA hari ini.
Khairul Anuar terlepas peluang meraih emas selepas tewas di tangan pencabarnya Brady Ellison dari Amerika Syarikat, menerusi penentuan ‘shootoff’ dalam aksi final Kejohanan Memanah Dunia 2019.
Bagaimanapun, atlet itu mencipta sejarah apabila perak yang diraihnya adalah pingat pertama dimenangi atlet Malaysia sejak Kejohanan Memanah Dunia diperkenalkan.
Lebih manis, kejayaan itu turut menyaksikan Khairul Anuar menempah slot automatik ke Olimpik Tokyo 2020.
Olimpik Tokyo 2020 akan menjadi penampilan ketiga buat Khairul Anuar, selepas layak beraksi di Olimpik London 2012 dan Rio 2016.
Sementara itu, ditanya mengenai persiapan menghadapi Sukan Olimpik tahun hadapan, atlet berusia 28 tahun itu berkata beliau akan meneruskan persiapan bagi membantu pasukan negara menghadapi saingan Piala Dunia di Berlin, tahun depan sekali gus memburu slot ke Olimpik dalam acara berpasukan.
"Untuk persediaan Olimpik tahun hadapan, ia terpulang kepada jurulatih dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk tentukan.
"Buat masa ini, kita ikut jadual dan perancangan asal yang telah disediakan. Yang penting adalah Piala Dunia tahun depan, saya akan fokus untuk layak acara berpasukan pula,” katanya.
Berkongsi pengalaman di pentas akhir Kejohanan Memanah Dunia itu, Khairul Anuar berkata beliau lebih bersedia dan mampu untuk mengawal rasa gementar ketika berdepan pemanah Amerika Syarikat itu.
"Saya sendiri pun sebenarnya sudah lama tidak ke pentas final, apatah lagi ini juga kali pertama ke final kejohanan dunia. Saya belajar macam mana untuk kawal gementar. Saya kongsi tekanan saya dengan jurulatih dan ia banyak membantu.
"Saya sedar mata panahan saya agak kurang, tapi apa saya dapat rasa tempoh untuk setiap satu anak panah tidak terganggu,” katanya. - Bernama