Lawatan ke UAE kemungkinan bawa peluang ekonomi

Iklan
Yang di-Pertuan Agong ketika menerima mengadap Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Istana Negara semalam. - Foto Twitter Azmin

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berkongsi berita gembira hasil lawatan khas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lalu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka menyatakan perkara itu ketika menerima mengadap Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Istana Negara di sini semalam.

Iklan
Iklan

Seri Paduka berharap agar perbincangan rasmi pertama dengan Mohamed Azmin mengenai ekonomi negara itu akan membantu menteri berkenaan untuk mengembangkan hubungan antara Malaysia dan Abu Dhabi.

"Yang di-Pertuan Agong gembira kerana berpeluang berkomunikasi dengan menteri (Mohamed Azmin) berhubung lawatan yang sangat produktif ke UAE.

Iklan

"Seri Paduka juga bertitah UAE merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar di Asia Barat dan berharap agar lawatan khas itu akan membuka ruang potensi ekonomi antara kedua-dua negara," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Fadil lagi, Al-Sultan Abdullah turut bertitah pertemuan dengan Mohamed Azmin akan membantu memastikan peluang itu akan membuahkan ke peringkat seterusnya untuk membangunkan potensi dua hala antara kedua-dua negara.

Iklan

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah mengadakan lawatan khas dua hari ke UAE.

Dalam lawatan itu juga, Seri Paduka turut mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Abu Dhabi dan Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.