GOMBAK - Seorang lelaki maut dirempuh sebuah lori di Kilometer 14 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh di sini kira-kira jam 5.45 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, mangsa Muhammad Ikhmal Ibrahim, 27 yang bekerja sebagai buruh itu dipercayai melintas jalan sebelum dilanggar sebuah lori.
"Pemandu lori terbabit dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai melintas keluar hadapan lori dari arah kanan pembahagi jalan.
"Pemandu lori tersebut dipercayai tidak sempat mengelak mangsa lalu melanggar mangsa, pemandu terbabit yang ketakutan kemudiannya meneruskan perjalanan dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kajang," katanya.
Katanya, siasatan pihak polis mendapati kejadian berlaku awal pagi dan tiada saksi yang melihat kejadian.
"Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat," katanya.
Menurutnya, saksi atau orang ramai melihat kejadian diharap tampil bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1981," katanya.